Persidangan pertama dunia mengenai pendidikan Islam (First World Conference of Muslim Education) di Mekah pada tahun 1977 telah menekankan kepentingan transformasi sistem pendidikan ke arah pembinaan keperibadian manusia yang seimbang samada di peringkat individual dan komuniti. Transformasi ini adalah penting dalam usaha kebangkitan umat Islam kesan kemunduran akibat penjajahan dan kemerosotan pendidikan islam secara keseluruhannya. Perkara ini telah dinukilkan oleh Syed Abul Hasan Ali Nadwi yang mengupas mengenai kerugian dunia akibat kemunduran umat Islam, yang menjejaskan kemajuan sains dan teknologi serta falsafah dan pembangunan intelektual berabad lamanya.
Justeru, ilmu pada hari ini telah berkembang dalam acuan fragmentasi disiplin ilmu barat yang menyebabkan perbezaan dan jurang antara bidang, kaedah kajian, penggunaan istilah dan epistimologi. Kesenjangan ini memberi kesan kepada kurangnya interaksi dan integrasi antara bidang dan ilmuwan. Cabaran juga dapat dilihat dalam aspek pengiktirafan dan penilaian akademia yang mengutamakan sumbangan dalam bidang khusus, sekaligus kurang menggalakkan untuk kerja-kerja akademik merentas bidang. Begitu juga struktur pengajian program di universiti yang dipetakan mengikut bidang dan industri tertentu, sudah tentu menghadkan pelaksanaan usaha-usaha ke arah integrasi ilmu.
Namun begitu pengembangan ilmu secara merentas disiplin sudah mula mendapat perhatian dalam usaha menyelesaikan isu-isu dan cabaran-cabaran yang baharu, kompleks dan global pada abad ke-21 ini. UNESCO menyatakan bahawa cabaran pada abad ini memerlukan kepada pendekatan menyeluruh dan cerdas untuk membuat keputusan yang tuntas dan berdaya tahan. Ini dinyatakan dengan ungkapan, “kita memerlukan ilmu daripada seluruh arkib dunia untuk selamatkan bumi” (UNESCO, Pathways of Tomorrow, 2023). Perkembangan ini sudah tentu memerlukan kepada sudut pandang baharu terhadap ilmu, kemahiran terkini dan pendekatan yang lebih berani dalam mengintegrasi ilmu merentas disiplin, serta kolaborasi yang lebih jitu dalam kalangan ilmuwan. Ini berdasarkan pemerhatian bahawa ilmu sedia ada pada abad ini tidak lagi mencukupi untuk memahami paradoks era pasca-normal. Dunia hari ini memerlukan gagasan ilmu dan pemikiran baharu untuk mengemudi cabaran masa hadapan.
Islam memberikan satu dimensi yang holistik kepada ilmu dengan mengintegrasikan aspek rohani, etika dan rasional. Sains Islam adalah manifestasi keilmuan Islam, iaitu satu pendekatan kepada ilmu dengan berteraskan epistimologi tauhid yang menghasilkan manfaat kepada manusia dan alam sejagat. Isu-isu kontemporari seperti perubahan iklim, kecerdasan buatan, keseimbangan ekonomi, kesihatan mental, krisis governan dan keamanan global memerlukan kepada penyelesaian yang mendokong nilai-nilai teras Islam seperti seimbang (mizan), adil (‘adl), kasih sayang (rahmah) dan tanggungjawab (amanah). Iqbal dalam bukunya “The Reconstruction of Religious Thought in Islam” dan Seyyed Hossein Nasr dalam “Science and Civilization in Islam” menekankan bagaimana pendekatan Islam boleh memberikan sumbangan pemikiran dalam menangani cabaran intelektual moden dan membina keharmonian di antara ilmu manusia dan wahyu (harmony between reason and revelation).
Integrasi ilmu memang tidak asing lagi dalam legasi intelektual Islam. Ia telah melahirkan pemikir-pemikir hebat seperti Al-Farabi, Al-Ghazali, Ibnu Sina dan Ibnu Khaldun yang terkenal dengan pembangunan ilmu baharu dalam pelbagai bidang. Sumbangan intelektual mereka telah membuktikan bahawa penyelidikan merentas disiplin ilmu mampu menghasilkan penemuan-penemuan baharu (cutting-edge discoveries) yang menjadi legasi ilmu sehingga hari ini. Inilah aspirasi yang perlu ada pada setiap ilmuwan Islam dan universiti terutamanya yang dipelopori oleh umat Islam, untuk membangunkan ilmu Sains Islam yang bermanfaat (al-‘ilm yuntafa’u bihi) untuk umat sejagat.
Tokoh ilmuwan Islam seperti Abdul Hamid A. Abu Sulayman dalam bukunya “Crisis in the Muslim Mind” dan Malik Bennabi dalam “ The Problem of Ideas in the Muslim World” telah memberikan pandangan mereka mengenai keadaan umat Islam, dan menyeru ke arah perubahan cara fikir untuk membina umat yang menyumbang dengan lebih baik kepada masyarakat dan dunia. Sungguhpun umat Islam di dunia berhadapan dengan kesan pelbagai cabaran yang diwarisi sejak berabad dahulu, seperti penjajahan, konflik dan kemiskinan di beberapa tempat di dunia, ia tidak boleh menjadi penghalang untuk bergerak lebih maju dalam dunia kompetitif hari ini. Kita perlukan generasi muda yang cergas daya fikirnya, berfikiran global, berdaya saing, prihatin, berkolaborasi, dan selesa dengan kepelbagaian sebagai satu realiti hari ini. Kita memerlukan universiti yang berperanan dalam pembangunan ilmu berteraskan Islam, membina generasi baharu yang berilmu dan memberi manfaat kepada manusia sejagat.