NILAI – Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) kali-13 menyaksikan Kelab Seni Budaya, Pusat Kebudayaan USIM berjaya meraih empat anugerah berprestij, termasuk Anugerah Khas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU).
Selari dengan hasrat untuk meningkatkan keterlihatan USIM dalam pelbagai bidang, AKSIS mengiktiraf sumbangan serta pencapaian pelajar yang telah banyak melakar kecemerlangan di pelbagai peringkat glokal mahupun global khususnya melibatkan program pembangunan sahsiah.
Penyertaan AKSIS telah disertai dari pelbagai kelab dan persatuan pelajar dengan mempertaruhkan penganjuran aktiviti, pencapaian di pelbagai peringkat sebagai indikator penilaian bagi menerima anugerah dalam kategori yang dipertandingkan.
Usaha ini dilihat dapat meningkatkan minat pelajar untuk terlibat secara langsung dalam pelbagai program pembangunan sahsiah, kepimpinan, kesukarelawanan, pembangunan sosial sesuai dengan matlamat melahirkan mahasiswa yang seimbang dari semua aspek.
Selain itu, Najmi Adli Mustaffa, pelajar tahun empat Sarjana Muda Komunikasi dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, telah dinobatkan sebagai Anugerah Tokoh AKSIS yang merupakan pengiktirafan tertinggi dalam pelbagai bidang seperti kebudayaan dan kesenian khususnya seni sastera, pengucapan awam serta bidang akademik.
Tambahan lagi, beliau juga telah menerima dua lagi penghargaan, iaitu Anugerah Khas Naib Canselor dan Anugerah Kepimpinan Kebudayaan, menjadikannya figura utama dalam majlis penyampaian anugerah AKSIS. Kejayaan beliau dalam menganjurkan program-program besar seperti Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) dan Sincerely, Setia Youth Synergy Programme telah mengangkat nama USIM ke persada kebangsaan dan antarabangsa. Penganugerahan ini tidak hanya mengiktiraf sumbangan beliau dalam aktiviti berpesatuan, malah turut menjadi penghormatan besar kepada Pusat Kebudayaan USIM sebagai Peneraju Seni Berbudaya yang banyak memberikan galakan meyediakan platform pengembangan bakat bagi meningkatkan kemahiran insaniah khususnya aktiviti seni budaya dalam kalangan pelajar.
Dalam pada itu, Najmi Adli Mustaffa, yang merupakan mantan Kelab Penerbitan Kreatif (KPK), Pusat Kebudayaan itu turut menyatakan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan ini. “Perasaan sukar digambarkan dengan lisan, sebak, terharu kerana calon-calon yang hebat serta memberikan saingan cukup tinggi. Syukur Allah hadiahkan kemanisan rezeki di hujung pengajian,” ujarnya. Beliau juga mengakui bahwa anugerah ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan besar, tetapi juga sebagai cabaran untuk terus memperbaiki diri. “Anugerah ini adalah penanda aras yang tinggi untuk diri saya serta pengiktirafan besar khususnya kelab dan Pusat Kebudayaan yang banyak membimbing kami,” ujarnya.
Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Mohd Salehudin Sukor menyifatkan bahawa anugerah AKSIS ini mampu menyuntik semangat jati diri pelajar untuk merealisasikan program mengikut acuan yang bersesuaian dengan imej USIM serta melahirkan pelajar sebagai produk berkualiti yang memenuhi keperluan industri.
Selain itu, pengiktirafan ini menunjukkan komitmen USIM dalam mengembangkan potensi mahasiswa di luar akademik, seiring dengan visi dan misi universiti untuk melahirkan graduan yang seimbang dari segi kecerdasan intelektual, emosi, dan spiritual berpandukan ciri-ciri Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA).
Majlis AKSIS pada tahun ini telah menawarkan 17 kategori anugerah yang dinilai berdasarkan kriteria yang selaras dengan pemilihan Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan (ATS) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Lebih istimewanya, para penerima anugerah ini akan mewakili USIM di peringkat kebangsaan melalui Anugerah Tokoh Siswa anjuran KPT.
Penganjuran AKSIS merupakan lambang komitmen USIM dalam mengiktiraf bakat mahasiswa melalui aktiviti kepimpinan dan berpesatuan sekaligus mengembangkan lagi potensi mahasiswa secara holistik, tidak hanya dalam akademik tetapi juga dalam kemahiran insaniah dan kepimpinan.
Dengan demikian, USIM terus memperkukuhkan reputasinya sebagai institusi yang mengutamakan pembangunan pelajar secara menyeluruh sekali gus melahirkan graduan yang berkualiti.
AKSIS telah disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Lembaga Pengurusan Universiti, Datuk Haji Md. Yahya Basimin. Turut hadir beberapa wakil pengurusan tertinggi USIM termasuk Naib Canselor Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), wakil-wakil jabatan, alumni dan pelajar USIM memberikan sokongan kepada semua calon yang bertanding di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
Oleh: Alya Afiqah Adnan