NILAI, 9 Ogos 2023 – Sebagai medan pengiktirafan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terhadap warganya yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sepanjang tahun 2022, penganjuran Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi (AKI) telah berlangsung untuk meraikan seramai 139 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 25 kategori Anugerah Khas dan 2 orang penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2022.

“Seiring dengan usia penubuhannya, USIM dilihat semakin matang berdasarkan pelbagai pencapaiannya sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. 23 tahun bukanlah suatu jangka masa yang pendek dan mudah. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua staf yang telah bertungkus-lumus bekerjasama membangunkan Universiti yang kita sayangi ini”, ujar Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor.

Ujarnya lagi, sumber manusia merupakan satu keperluan dan keutamaan kepada sesebuah organisasi di mana kepakaran dan kemahiran amat didambakan untuk melahirkan sebuah organisasi yang cemerlang. Kualiti kerja amat dititikberatkan di dalam pengurusan organisasi kerana kerja yang berkualiti merupakan matlamat utama dalam pekerjaan”.

Selaras dengan slogan “USIM Cemerlang, USIM Disayang”, kempen #sayangusim telah dilancarkan pada 4 Ogos 2023 yang lalu di mana kempen ini merupakan penjenamaan semula kempen #iLoveUSIM dengan matlamat untuk memperkuat dan menanamkan rasa cinta kepada USIM dalam kalangan pelajar, staf dan alumninya.

Ini, sekaligus dapat memotivasi individu USIM untuk menyumbang sepenuhnya kepada pembangunan dan kecemerlangan Universiti. Semoga kempen ini dapat meningkatkan kasih sayang kepada organisasi kita.

Turut hadir pada majlis itu adalah Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM, Profesor Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Profesor Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan