KEDAH – Tiga Penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengungguli Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2023 bertempat di Universiti Sultan Zainal Abidin Kampus Gong Badak apabila dinobatkan sebagai Johan kategori tilawah lelaki dan perempuan serta Naib Johan bagi Hafazan (Juzuk 1 hingga 10).

Johan disandang oleh Muhammad A’mmar Mukhlis Abdul Mohsin,24, mahasiswa Tahun Empat Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, bagi kategori Tilawah (Lelaki) dengan memperoleh 94.5 peratus markah, manakala Nadhrah Ahmad Marzuki,23, mahasiswa Tahun Empat Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, mengungguli kategori Tilawah (Perempuan) dengan meraih kutipan 93.67 peratus. Masing-masing membawa pulang hadiah sijil, piala dan wang tunai berjumlah RM2,000.

Sementara itu, Abdullah Afif Mohd Ariffin,22, mahasiswa Tahun 2 Program Fiqh dan Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-undang merangkul Naib Johan bagi kategori Hafazan (Juzuk 1 hingga 10). Beliau membawa pulang sijil, piala dan wang tunai berjumlah RM750.

Majlis penyampaian hadiah itu disempurnakan Datuk Dr Sirajuddin’ Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang juga Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Seramai 159 peserta dari 33 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia bertanding di Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2023 yang berlangsung pada 27 hingga 29 September 2023.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan