BANGI – Seramai 1,092 penulis buku penerbitan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari kalangan akademik dan pentadbir dalam dan luar USIM menerima sejumlah RM194,870.00 royalti dengan jumlah 59,099 naskhah buku yang terjual oleh Penerbit USIM dalam Majlis Kalam Bitara 2024 yang diraikan bertempat di Bangi Golf Resort petang semalam.

Majlis tersebut merupakan simbolik pengiktirafan dan penghargaan kepada penulis buku dan jurnal dalam bentuk pembayaran royalti atas sumbangan ilmu pengetahuan dalam bentuk penulisan karya ilmiah yang memberi manfaat dan impak kepada universiti dan ummah keseluruhannya.

Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.

Sebanyak empat kategori anugerah diberikan kepada penulis dan pengarang iaitu Penerima Royalti, Buku Terlaris, Penulis Aktif dan Pengurusan Jurnal Terbaik bagi tahun 2019 hingga 2022.

Sebanyak 22 judul buku dianugerahkan sebagai penerima anugerah Royalti bagi tahun bermula 2020 sehingga 2022.

Sementara itu, Anugerah Buku Terlaris bagi tahun 2021 hingga 2023 kategori Bahasa Melayu dianugerahkan kepada penulis Dr. Mohd Zaini Zakaria, Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff dan Prof. Madya Dr. Haji Norakyairee Mohd Raus bagi judul buku bertajuk Seni Taranum Al-Quran.

Kategori Bahasa Inggeris dianugerahkan kepada Prof. Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah, Prof. Dr. Zurina Shafii, Dr. Supiah Salleh, Dr. Nurazalia Zakaria dan Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin bagi judul buku bertajuk Governance & Shariah Audit in Islamic Financial Institutions – Second Edition. Manakala bagi judul buku kategori Bahasa Arab bertajuk Aliyat Tahlil An Nas al Quran Wa Tatbiquhu Ala an Nahju At Taulidi Wa At Tahwili Wa Sulasiah At Tarabut At Tasya’bu dianugerahkan kepada Prof. Madya Dr. Asma Abdul Rahman.

Anugerah Penulis Aktif pula dianugerahkan kepada Prof. Dr. Wan Abdul Fattah Wan Ismail pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, bagi kategori Bahasa Melayu pula, Prof. Madya Dr. Waidah Ismail pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi bagi kategori Bahasa Inggeris, serta Dr. Samer Najeh Abdullah Samarh pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah bagi kategori Bahasa Arab.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya berkata USIM amat menyokong warganya tidak kira dalam kalangan akademik mahupun pentadbir untuk menyumbang kepada kemajuan universiti, seperti mana yang disampaikan dalam amanat beliau yang memfokuskan 5 strategi antaranya pembangunan bakat terbaik dan talent fluidity.

Majlis turut melancarkan buku baharu serta penubuhan Kelab Bitara USIM. Kelab Bitara ini adalah bertujuan menyediakan landasan kepada para pelajar dalam penglibatan kegiatan perbukuan dan penerbitan yang berupaya meningkatkan penguasaan kemahiran insaniah.