NILAI – Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Tabung Haji, merupakan profesor adjung di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau telah menyampaikan syarahan professor adjung pada 3 Mei 2024 bertempat di Dewan Kuliah FKP bertajuk ‘Tabung Haji: Melampaui Peradaban dan Zaman’.

Dato’ Sri Syed Saleh dilahirkan di Pulau Pinang dan menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Francis Light, Pulau Pinang, dan Maktab Sains MARA, Kuantan, Pahang. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di Hastings College of Further Education, East Sussex, England, untuk mendapatkan GCE ‘A’ Levels sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dari Universiti of Wales Institute of Science and Technology, Cardiff, Wales, United Kingdom.

Dato’ Sri Syed Saleh telah menunjukkan dedikasi dan ketekunan dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara melalui kepakaran beliau dalam bidang ini telah melebihi 30 tahun. Syarahan yang disampaikan oleh beliau amat signifikan dan tepat dalam memberikan pandangan mendalam dan membuka mata kita terhadap isu-isu yang berkaitan dengan pentadbiran, pengurusan, dan perancangan masa depan Tabung Haji, sebuah kebanggaan negara dan institusi terkemuka dalam dunia Islam.

Beliau telah berkongsi evolusi Tabung Haji dengan meneroka perjalanan sejarah Tabung Haji yang menunjukkan bagaimana ia telah berkembang dari semasa ke semasa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan peradaban dan zaman. Memahami evolusinya adalah penting dalam merancang untuk masa depannya.

Sebagai sebuah institusi Islam yang diiktiraf secara global, Tabung Haji memainkan peranan penting tidak hanya di Malaysia tetapi juga dalam landskap kewangan Islam secara lebih luas. Dato’ Sri Syed Saleh telah menekankan kepentingan untuk mengekalkan reputasi ini dan memperluas pengaruhnya lebih jauh selain memastikan strategi yang berpotensi untuk pertumbuhan yang mampan, meningkatkan pengalaman pelanggan, dan mengekalkan integriti kewangan.

Syarahan profesor adjung Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman tentang ‘Tabung Haji: Melampaui Peradaban dan Zaman’ ini secara keseluruhannya memberikan pemahaman menyeluruh tentang kepentingan institusi ini dalam memudahkan pelaksanaan ibadah Haji bagi umat Islam secara menyeluruh.

Turut hadir dalam majlis tersebut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, Dekan FKP Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin dan pengurusan universiti.