NILAI – Yayasan Bank Rakyat (YBR) taja RM 15,000 ruang Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner yang terletak di Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). YBR juga sumbang 50 ID digital keahlian SIR bagi membolehkan pengunjung mengakses lebih 100 ribu koleksi digital yang meliputi pelbagai subjek seperti kewangan, ekonomi dan bacaan umum dengan jumlah langganan bernilai RM500,000.00 setahun untuk kegunaan warga USIM.

Majlis perasmian SIR telah dirasmikan oleh Naib Canselor Prof. Dato Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dengan disaksikan oleh Encik Syaiful Rizal Abdul Ghani Pengurus Besar YBR. Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner merupakan projek “Perpustakaan Angkat SIR” diasaskan oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang melibatkan pihak universiti, kolej vokasional dan sekolah terpilih di Malaysia. Universiti Sains Islam Malaysia turut menjadi satu universiti awam yang terpilih.

Naib Canselor Prof. Dato Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya berkata, pembangunan SIR Corner melalui sumbangan Yayasan Bank Rakyat ini merupakan suatu kerjasama yang bersifat simbiosis, iaitu satu usaha bersama kedua-dua belah pihak dalam meningkatkan lagi kebolehcapaian dan akses kepada sumber maklumat terkini yang sangat diperlukan dalam arena pendidikan dan penyelidikan.

”Pihak universiti amat menghargai sumbangan dan sokongan pihak YBR ini yang mana sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan pelajar terlibat dalam usaha anak-anak ini menuntut ilmu di peringkat yang lebih tinggi”, ujarnya lagi.

Dalam majlis yang sama, YBR juga turut menyumbang Bantuan Awal Pendidikan (BAP) berjumlah RM100,000.00 kepada 100 orang pelajar USIM yang terpilih. Sumbangan ini diuruskan oleh pihak Pusat Wakaf dan Zakat USIM. Sumbangan dan sokongan oleh pihak YBR dalam projek ini memberi impak yang besar kepada kebajikan pelajar USIM dengan meringankan beban kewangan mereka, serta meningkatkan imej dan peranan Yayasan Bank Rakyat dalam meningkatkan taraf kehidupan dan kebajikan pelajar.