MUMBAIPakar bidang Kecerdasan Buatan dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiiti Sains Islam Malaysia (USIM), menerima anugerah Prof Indira Parikh 50 Women in Education Leaders sempena World Education Congress and Awards Edisi ke-13 yang berlangsung pada 11 dan 12 Julai 2024 di Taj Lands End, Mumbai, India.

Profesor Ts. Dr. Norita Md Norwawi, FASc, menerima pengiktirafan ini atas sumbangan signifikan beliau dalam bidang pendidikan, yang telah memberi inspirasi kepada generasi masa depan serta mendorong penyelidikan dan pendidikan yang berkesan.

Menurut beliau, “Penghargaan ini merupakan rezeki yang telah dihidangkan dan juga adalah bonus atau insentif untuk suntikan semangat serta menginsafi bahawa Allah SWT peduli dan ketentuan Allah SWT adalah tepat pada masa dan penuh hikmah yang tersembunyi.”

“Saya amat bersyukur kerana sumbangan dari USIM khususnya dan Malaysia amnya dalam dunia pendidikan mendapat perhatian dan diiktiraf di peringkat antarabangsa serta mendapat tempat di hati para juri dengan izinNya jua. Rezeki yang datang tanpa kita duga sewajarnya kita syukuri dalam memberikan suntikan semangat dan inspirasi bahawa khidmat bakti kita tidak diketepikan oleh Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Mengatur rezeki para hambanya,” tambah beliau lagi.

Profesor Norita memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Komputer pada tahun 1987 dari University of New South Wales, Australia. Beliau menerima Ijazah Sarjana dalam Sains Komputer dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1994. Pada tahun 2004, beliau memperoleh PhD yang mengkhusus dalam Perlombongan Data Temporal dan Sistem Multiagen dari Universiti Utara Malaysia.

Pengkhususan penyelidikan beliau termasuk kecerdasan buatan, sistem multiagen, perlombongan data temporal, perlombongan teks, perlombongan pengetahuan, keselamatan maklumat dan aplikasi serta kandungan Islam digital.

Penulisan beliau telah diterbitkan dalam lebih 200 jurnal antarabangsa dan memenangi anugerah dalam pertandingan penyelidikan dan inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Antara penyelidikan signifikan beliau adalah Naqli Aqli Integrated Semantic Search Engine (NAISSE) dan National Blockchain and AI (NBAI). Beliau juga merupakan Ketua Pasukan Bertindak AI, Kluster Sains, Teknologi dan Inovasi, Akademi Profesor Malaysia; Naib Presiden Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS); dan pernah mewakili Malaysia ke UNESCO Intergovermental State Member Meeting: Recommendation on the Ethics of AI pada 2021.

Anugerah Prof Indira Parikh 50 Women in Education Leaders diwujudkan untuk mengiktiraf sumbangan luar biasa wanita terpilih dalam bidang pendidikan.

Proses pemilihan penerima anugerah melibatkan penyelidikan intensif dan penilaian juri profesional dari pelbagai negara berdasarkan perspektif strategik, orientasi masa depan, integriti dan etika, keupayaan untuk pendidikan yang lestari, kaedah penilaian, dan rekod prestasi pencapaian penerima anugerah.