Dr. Siti Suriani Othman
Dr. Siti Suriani Othman Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM
Muhammad Hafiz Al-Mursyidi Md Idris
Muhammad Hafiz Al-Mursyidi Md IdrisPelajar Program Pengurusan dengan Pelancongan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM

Perbincangan tentang perkahwinan di usia muda mungkin satu topik yang sudah lama dibincangkan dan bukan tajuk yang dilihat penting oleh kebanyakan orang. Namun, kita tidak nafikan begitu banyak kemaksiatan berlaku di depan mata kita hari ini, hinggakan sebenarnya salah satu daripada kaedah pencegahannya ialah menerusi perkahwinan. Cadangan ini yang mungkin diterima atau ditolak sesetengah pembaca, apapun harus dibincangkan daripada perspektif pencegahan kemaksiatan yang diharapkan dapat mengurangkan kadar maksiat terutama dalam kalangan umat Islam.

Dalam Islam, perkahwinan adalah satu sunah Nabi Muhammad SAW yang sangat dianjurkan. Hikmah berkahwin di usia muda berupaya mencegah seseorang daripada terjerumus dalam kemaksiatan.

Pada usia muda, naluri semula jadi manusia seperti keinginan seksual mula berkembang. Apabila naluri ini tidak disalurkan dengan cara yang betul, ia boleh membawa kepada berlakunya zina atau hubungan luar pernikahan yang haram. Dengan berkahwin, pasangan muda dapat menyalurkan naluri ini dengan cara yang halal dan diberkati. Ini bukan sahaja memenuhi keperluan biologi, tetapi juga memastikan mereka berada dalam keadaan yang diredai Allah SWT.

Berkahwin diusia muda juga dapat membantu individu untuk menjaga maruah dan kehormatan diri. Dalam zaman yang serba moden ini, cabaran untuk menjaga diri daripada terjerumus dalam kemaksiatan semakin besar. Pendedahan kepada media sosial dan budaya hedonisme menjadi godaan untuk melakukan perkara yang terlarang. Memalui perkahwinan, pasangan muda dapat saling mengingatkan dan menyokong antara satu sama lain untuk menghindari perbuatan maksiat. Kehadiran pasangan sebagai teman hidup juga memberi sokongan moral dan emosional yang penting dalam menghadapi cabaran harian.

Tujuan perkahwinan dalam Islam bukan sekadar untuk memenuhi keperluan fizikal, tetapi juga untuk membina sebuah keluarga yang Sakinah (tenang), Mawaddah (penuh kasih sayang), dan Rahmah (diberkati). Apabila berkahwin pada usia muda, pasangan mempunyai lebih banyak masa bersama-sama membina keluarga yang harmoni dan bahagia. Kehidupan berkeluarga yang teratur dan stabil membantu mengelakkan individu daripada mencari keseronokan di luar rumah yang boleh membawa kepada kemaksiatan.

Namun, ramai juga yang memilih untuk hidup tanpa pasangan kerana faktor-faktor tersendiri. Memang mungkin lebih mudah daripada satu aspek kerana tidak perlu menguruskan orang lain, namun, kehidupan tanpa pasangan boleh menjadi sumber tekanan sosial dan emosional, terutamanya apabila tiada tempat untuk berkongsi tekanan diri dan menerima sokongan moral untuk sesuatu perkara. Tekanan ini kadangkala mendorong individu untuk mencari jalan keluar yang tidak menepati kehendak agama, seperti melakukan hubungan yang terlarang. Dengan berkahwin, tekanan ini dapat dielakkan dan individu dapat menikmati kehidupan yang lebih tenang dan seimbang.

Perkahwinan diusia muda juga dapat membantu individu untuk menjadi lebih matang dan bertanggungjawab. Apabila seseorang itu berkahwin, dia tidak lagi hanya memikirkan tentang dirinya sendiri tetapi juga pasangan dan anak-anak. Tanggungjawab ini membantu mengalihkan perhatian daripada perkara-perkara yang tidak berfaedah dan berpotensi membawa kepada kemaksiatan. Sebaliknya, individu akan lebih fokus kepada usaha untuk membina keluarga yang berjaya dan diberkati.

Perkahwinan juga menyediakan satu platform untuk perlindungan dan keselamatan dari segi fizikal, emosional, dan spiritual. Pasangan suami isteri saling menjaga dan melindungi antara satu sama lain daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemaksiatan. Mereka juga dapat saling memberi nasihat dan bimbingan dalam menjalani kehidupan seharian mengikut ajaran islam.

Kesimpulannya, berkahwin di usia muda mempunyai banyak kebaikan, khususnya dalam konteks mencegah daripada terjerumus dalam konteks kemaksiatan. Dengan adanya ikatan perkahwinan, pasangan muda dapat menyalurkan naluri semulajadi mereka dengan cara yang halal, menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat, membina keluarga yang sakinah mawaddah dan rahmah. Selain itu, perkahwinan juga dapat mengelakkan daripada tekanan sosial dan emosional, mendorong kematangan dan tanggungjawab, serta memberi perlindungan dan keselamatan. Oleh itu, adalah wajar bagi individu yang mampu dari segi fizikal, emosional, dan ekonomi untuk mempertimbangkan perkahwinan di usia muda sebagai salah satu langkah untuk menjalani kehidupan yang lebih diredai dan diberkati.