KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi melakar kejayaan di pentas antarabangsa apabila Mohamad Husaini Mahmur, dinobatkan sebagai johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 tahun 1446H/2024M.
Husaini, 32 tahun, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan merupakan alumniUniversiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata kejayaan ini adalah hasil daripada hampir satu dekad usaha gigih dan penglibatan aktif beliau dalam pertandingan tilawah Al-Quran.
Menurut Husaini, beliau telah mencuba nasib dalam pertandingan peringkat kebangsaan sejak 2015 dan sebelum ini telah mewakili Negeri Sembilan sebanyak enam kali di peringkat kebangsaan dan kemenangan ini merupakan detik yang sangat bermakna setelah sembilan tahun mencuba.
“Perasaan saya bercampur baur. Setelah hampir sembilan tahun mencuba, akhirnya saya berjaya meraih kejayaan ini. Dorongan keluarga, terutamanya isteri saya, banyak membantu untuk terus berusaha hingga ke tahap ini,” katanya ketika sesi temu ramah baru-baru ini.
Husaini, anak kepada pasangan Mahmur Latif dan Asmah Mohd Zin merupakan anak keempat daripada lima beradik.
Menurut beliau sokongan yang tidak putus daripada keluarganya, terutamanya isteri, menjadi pendorong utama dalam perjalanan seninya.
Bagi mempersiapkan diri menghadapi MTHQA, Husaini menjalani latihan intensif selama empat hingga lima bulan.
“Latihan ini bukan sahaja merangkumi latihan membaca Al-Quran, tetapi juga latihan kardiovaskular bagi meningkatkan stamina dan pernafasan. Saya turut amalkan minum susu kambing bagi memastikan suara kekal lancar,” tambah beliau lagi
Menurut Husaini, sejak kecil, beliau telah memupuk minat mendalam dalam bidang tilawah. Beliau mula belajar tarannum pada usia 10 tahun di bawah bimbingan pakciknya, Ustaz Ghazali Abd Rahman, yang menghantar beliau setiap minggu untuk belajar seni tersebut.
“Di USIM, saya mendapat bimbingan daripada Dr. Anuar Hasin, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM, yang turut banyak membantu dalam memantapkan Kemahiran saya. Bagi saya, Almarhum Dato’ Ismail Hashim, seorang johan qari kebangsaan sebanyak sembilan kali dan johan antarabangsa sebanyak lapan kali, menjadi idola serta sumber inspirasi saya”.
Husaini turut berkongsi pesanan kepada golongan muda agar sentiasa menjaga hubungan dengan Al-Quran. Beliau menekankan bahawa pembelajaran Al-Quran tidak seharusnya dihentikan walaupun dalam kesibukan aktiviti lain.
“Jangan berhenti belajar Al-Quran, kerana insya-Allah, dengan menjaga Al-Quran, Allah akan menjaga kita.” tambah beliau lagi.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah berkenan untuk berangkat dan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada Johan Tilawah dan Johan Hafazan Al-Quran pada 12 Oktober 2024 baru-baru ini.
Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani
Sumber foto: Media JAKIM