NILAI, 18 Februari 2020- Mengambil inisiatif dan menzahirkan kepekaaan serius dalam isu aset wakaf yang terbiar, belum dibangunkan dan hasil yang rendah hingga tidak dapat menampung kos penyelenggaraan di peringkat nasional dan global, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memulakan langkah dalam merealitikan Perbincangan Meja Bulat Tawriq Wakaf 2020 bertempat di Dewan Senat aras 3, Bangunan Canselori, USIM.
Tema program adalah ‘Membuka Potensi Tawriq Wakaf Melalui Inovasi Kaedah Pencairan Kearah Pengukuhan Dan Kelestarian Institusi Wakaf Di Malaysia’. Ucaptama disampaikan oleh Y.Bhg Datuk Dr Mohd Daud Bakar, Tokoh Syariah Global dan Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah BNM
Naib Canselor USIM Prof. Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, perbincangan ini adalah sebagai medan perbincangan ilmiah kumpulan akademik, pengendali institusi wakaf, pelajar dan masyarakat awam untuk berbincang dan memberikan pendapat mengenai solusi kepada permasalahan kekurangan sumber dan pendanaan projek-projek wakaf. Program ini juga mengukuhkan hubungan dan jalinan kerjasama Majlis Agama Negeri sebagai pemegang amanah tunggal wakaf di Malaysia.
“Pelbagai isu dapat dibincangkan dan saya yakin banyak resolusi yang kita akan peroleh pada akhir program ini nanti. Walaupun kaedah ini masih belum diperluaskan dalam Malaysia, diharapkan platfom ini juga mampu mempromosikan konsep Tawriq Wakaf sebagai idea baru, prinsip asas dan teori untuk diaplikasikan dalam pelaksanaan wakaf di Malaysia”ujarnya lagi.
Sebanyak dua topik yang dibincangkan iaitu : “Fiqh al-Sighah untuk kelestarian projek pembangunan wakaf masa hadapan” disampaikan oleh Ustaz Fakhruddin Abdul Rahman (Pegawai Tadbir di Unit Pembangunan Hartanah dan Harta Wakaf, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang) dan Ustaz Fauwaz Fadzil Noor (Penasihat Syariah Telaga Biru dan Penterjemah Buku Fiqh al-Mizan) sesi akan dikendalikan oleh Moderator: Dr. Mohd Nazri Bin Mohd Noor (USIM).
Manakala yang kedua bertajuk : “Faktor kejayaan kritikal kaedah pembiayaan dan pencairan pembangunan wakaf di Malaysia” yang disampaikan oleh Prof Dr Ismail bin Omar, Presiden Pertubuhan Professional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan Professor di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,UTHM), Prof. Madya Dr. Sayuti Bin Ab Ghani, (Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf UPNM). serta Dr Mohd Noor Ropiah Abu Bakar (Timbalan Pengarah II, UDA Holdings). Sesi akan dikendalikan oleh Moderator: Y. Bhg Prof Dato Dr Mohammad Haji Alias.
”Saya mengharapkan program ini boleh memasyarakatkan konsep mencairkan tanah wakaf (tawriq wakaf) sebagai satu solusi kepada tanah-tanah yang belum diusahakan, kekurangan dana untuk membangunkan tanah wakaf serta membiayai sebahagian kos penyelenggaraan bagi projek-projek wakaf yang ada di Malaysia.” ujar Profesor Madya Dr Fuadah Johari, Ketua Projek Penyelidikan dan Pengarah Perbincangan Meja Bulat Tawriq Wakaf 2020.
”Lebih menarik lagi, kali pertama konsep ini diperkenalkan kepada Norhashiawati binti Wahab iaitu salah seorang yang berniat untuk mewakafkan tanahnya seluas 4 ekar di negeri Pahang kepada USIM telah bersetuju dengan konsep tawriq wakaf ini dan menyambut baik cadangan ini. Adalah besar harapan kami supaya konsep Tawriq wakaf ini boleh diterima dalam kalangan pengurus wakaf di Malaysia dan juga dalam masyarakat umum, supaya sumbangan wakaf tidak terhenti dan tidak dinamik kerana halangan dan kekangan sumber kewangan yang sangat terbatas. Semoga segala usaha penyelidikan yang diusahakan boleh direalisasikan untuk memajukan tanah wakaf pada masa hadapan”, tambah Prof Dr Fuadah lagi.
Program ini dihadiri oleh Pusat Wakaf Majlis Agama Islam dari Negeri Sembilan, Pulau-Pinang, Johor, Perak, Melaka dan Terengganu, Institusi Wakaf peringkat Nasional seperti Yayasan Wakaf Malaysia dan Perbadanan Wakaf Nasional. Wakil-wakil dari pertubuhan Bukan Kerajaan seperti Pertubuhan Professional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan NUIM YADIM. Wakil-wakil dari syarikat wakaf korporat dan swasta seperti Waqf An-Nur Corporation berhad, Fenterra, Jom Wakaf.
Turut hadir juga pensyarah, penyelidik dan pelajar Siswazah dari universiti seluruh Malaysia iaitu UKM, UM, UPM, UIA, UTHM, KUIS, UTM, Universiti Multimedia, PICOMS, Kolej Pengajian Islam Johor, Kolej Professional Mara, Darul Quran JAKIM dan Akademi Zakat (AZKA) Pusat Zakat MAIWP. Serta bank dan syarikat pelaburan Islam iaitu Bank islam Malaysia Berhad, Koop PERTAMA dan Kenanga Pelaburan Islam.
Turut dihadiri oleh ahli keluarga Norhashiawati Binti Abdul Wahab, yang pertama kali diperkenalkan dengan konsep Tawriq Wakaf ini dan mereka bersetuju menggunakan konsep ini dalam merealisasikan niat Norhashiawati untuk mewakafkan tanahnya seluas 4 ekar kepada USIM. Dengan penganjuran ini diharapkan konsep Tawriq Wakaf ini boleh diaplikasikan bagi menyelesaikan masalah semasa dalam masa yang sama dapat memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan Majlis Agama Negeri sebagai pemegang amanah tunggal wakaf di Malaysia.
Program yang menggambarkan kebersamaan warga USIM merupakan penganjuran bersama Pusat Wakaf dan Zakat USIM dan diterajui oleh Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) USIM dibawah Geran Penyelidikan FRGS bertajuk ’Kaedah Mencairkan Tanah Wakaf Untuk Membiayai Projek Pembangunan Wakaf Di Malaysia’. FEM secara komited merancang kelancaran perjalanan Perbincangan Meja Bulat Tawriq Wakaf 2020 agar berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Program ini juga mendapat tajaan daripada UDA Waqf Holdings Berhad dan Telaga Biru Sdn Bhd.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan