NILAI – Program Santun Budi anjuran Kelab Media dan Komunikasi Strategik (Stracomm Clique) telah berjaya dilaksanakan dengan penglibatan seramai 38 peserta. Program ini bertujuan mempereratkan hubungan antara pelajar dan warga emas serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menghargai golongan ini dalam masyarakat.
Bertempat di Nur Hasanah Care Centre, Beranang, Selangor, program ini melibatkan 20 penghuni lelaki warga emas di pusat penjagaan tersebut pada 18 Januari 2025 baru-baru ini. Aktiviti utama termasuk gotong-royong membersihkan kawasan surau dan bilik fisioterapi serta memperindah ruang-ruang tersebut. Selain itu, para pelajar turut berinteraksi mesra dengan penghuni melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan.
Nurun Nafeesah Roslan,22, dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan merangkap Pengarah program berkata, antara aktiviti yang dijalankan ialah brisk walk, permainan “Tiru Gaya, Teka Siapa,” dan sesi perkongsian cerita dalam program “Halaqah Ukhuwah: Tell Me Your Story”. “Aktiviti-aktiviti ini bertujuan menghilangkan kebosanan dan membawa kegembiraan kepada warga emas. Senyuman dan gelak tawa mereka turut menyentuh hati para pelajar, yang merasai kehangatan kasih sayang yang terjalin sepanjang program ini”, ujarnya.
Ujarnya lagi, program ini juga memberi impak mendalam kepada pelajar, yang berpeluang mendengar pengalaman hidup warga emas. Kisah suka dan duka yang dikongsi memberikan pengajaran berharga, khususnya tentang menghargai hubungan dengan mereka yang lebih tua. Salah seorang daripada penghuni turut berkongsi pesan bermakna kepada peserta, “Selagi ada ibu bapa, hargailah mereka. Walau apa pun kerja kita, jangan lupa menjenguk mereka.” Pesanan ini mengingatkan peserta akan pentingnya menjaga hubungan dan berhati-hati dengan setiap tutur kata agar tidak melukai perasaan orang tua.
Para penghuni di pusat penjagaan turut meluahkan rasa syukur atas kehadiran pelajar. Seorang daripada mereka berkata, “Saudara mara sendiri pun jarang menjenguk kami, terima kasih anak-anak kerana meluangkan masa bersama kami.” Kata-kata ini menggambarkan betapa besar makna perhatian dan kasih sayang yang diberikan kepada mereka.
Program ditutup dengan suasana penuh emosi apabila pelajar meluahkan kesedihan untuk berpisah dengan warga emas. Air mata yang mengalir menjadi simbol kasih sayang dan kenangan bermakna yang terjalin sepanjang beberapa jam bersama mereka. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk rasa hormat dan kesedaran terhadap warga emas serta memastikan mereka dihargai oleh setiap lapisan masyarakat.
Oleh: Nurul Fathihah Shaipol Azman