NILAI, 19 Disember 2018 – Bagi meraikan mahasiswa/i yang yang telah menjalani kursus khas cakna tentang orang kurang upaya (OKU) terutamanya cacat pendengaran melalui Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS) tahap 1 dan 2, satu Majlis Graduasi Kursus Dakwah Tanpa Suara telah diadakan pada 19 Disember 2018 baru-baru ini bertempat di Dewan Kuliah Pusat 4, USIM.
Seramai 117 orang peserta KDTS telah berjaya bergelar graduan Kursus Dakwah Tanpa Suara iaitu 36 orang daripada KDTS 1(2017/2018), 25 orang daripada KDTS 2 (2017/2018) dan 56 orang daripada KDTS 1(2018/2019). Para graduan KDTS ini terdiri daripada mahasiswa/i USIM, UKM, UniKL, UIA dan juga orang awam. Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan nasyid tanpa suara yang melibatkan mahasiswa/i KDTS sebagai tanda penghargaan kepada tenaga pengajar kursus ini.
Kursus ini merupakan anjuran Kelab Sukarelawan Dakwah OKU, Sekretariat Sahabat FAQEH (SaF@USIM) dan turut memberi kerjasama dalam menjayakan program ini adalah Yayasan FAQEH, Ibnu Ummi Maktum Research Centre (UMMI) dan FAQEH Training and Consultancy (FTC). Ini menggambarkan bahawa mahasiswa/i USIM diberi pendedahan, pengetahuan dan juga kesedaran terhadap OKU.
Majlis Graduasi ini merupakan salah satu inisiatif Sekretariat Sahabat Faqeh (SaF@USIM) untuk memberi penganugerahan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan kursus tersebut dengan jayanya. Seterusnya secara tidak langsung dapat memupuk semangat bantu-membantu dalam kalangan mahasiswa/i USIM bagi melahirkan generasi yang mempunyai sikap bertimbang rasa di samping menerapkan nilai-nilai murni di dalam diri mereka. Majlis ini juga diadakan bagi melahirkan mahasiswa/i yang bebas daripada nilai-nilai kapitalis dan membuka minda mahasiswa/i USIM berkaitan OKU cacat pendengaran serta bersama-sama menebarkan ilmu berlandaskan aqli dan naqli kepada masyarakat.
Antara aktiviti dan tugas yang diberikan sebelum para peserta KDTS tahap 1 bergelar sebagai graduan Kursus Dakwah Tanpa Suara adalah mereka diberi pendedahan terhadap dunia komuniti Pekak (budaya dan bahasa), latihan asas kaedah pengajaran menghafaz Quran bagi OKU Pekak melalui kaedah Tahfiz Akhyar dan Penulis Wahyu, pertandingan Kahoot KDTS 1, Ujian Akhir iaitu ujian bertulis dan mengaplikasikan bahasa isyarat melalui penghasilan video ’KDTS Challenge’. Bagi tahap 2 pula lebih banyak menfokuskan kemahiran berinteraksi bersama OKU Pekak secara latih tubi mingguan. Aktiviti-aktiviti ini adalah untuk menguji tahap kemahiran dan kefahaman mahasiswa/i berbahasa isyarat dan menguji sejauh mana pengetahuan mereka berkaitan dengan OKU cacat pendengaran.
”Dengan adanya Kursus Dakwah Tanpa Suara ini akan melahirkan lebih ramai Daie Pekak yang dapat membantu OKU cacat pendengaran agar mereka tidak tercicir serta diberi ruang dan peluang untuk memahami agama Islam dengan lebih baik dan sempurna. Kami sangat berbangga dengan mahasiswa dan mahasiswi yang bersungguh-sungguh dalam menjalankan usaha dakwah ini. Kami juga berharap agar usaha dakwah OKU ini diteruskan lagi bagi memupuk kesedaran bukan sahaja kepada mahasiswa dan mahasiswi USIM tetapi juga kepada masyarakat di luar sana.” kata Puan Zaharatul Sophia binti Amir Abbas, Setiausaha Yayasan FAQEH.
Diharapkan program ini dapat membantu mahasiswa/i USIM untuk terus peka dan cakna dengan isu berkaitan golongan orang kelainan upaya kerana mereka amat memerlukan pembimbing dalam memberi tunjuk ajar terutamanya berkaitan agama. Harapan kami agar mahasiswa/i yang berjaya menamatkan Kursus Dakwah Tanpa Suara tahap 1 dan 2 ini terus istiqamah dalam mempelajari serta mengaplikasikan bahasa isyarat dan dapat memberi khidmat buat mereka yang memerlukan di luar sana. Setiap maklumat berkaitan program boleh dilihat atau disemak melalui media sosial persatuan kami di facebook (Sahabat FAQEH USIM) dan instagram (saf_usimofficial).
Disediakan oleh:
Nama: Nur Azila binti Ali
Sekretariat Sahabat Faqeh USIM (SaF@USIM)
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032