Kejayaan pasukan debat Bahasa Arab yang mendapat Johan di Doha, Qatar pada Mac lalu tidak mampu menyinar cemerlang di pentas antarabangsa tanpa dorongan daripada seorang guru. Bagi En Ahmad Norsyafwan Norawavi, Guru Bahasa di Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sebagai jurulatih pasukan debat Bahasa Arab, beliau tidak meletakkan harapan terlalu tinggi namun percaya kesungguhan dan komitmen yang diberikan semasa menjalani latihan mampu mencipta memori baharu menebus kejayaan sebagai Naib Johan pada kejohanan yang sama tahun lalu.
Beliau yang juga merupakan Alumni USIM, amat memahami liku-liku dan cabaran yang harus dilalu dalam menyertai pertandingan debat Bahasa Arab memandangkan beliau juga merupakan alumni pendebat Bahasa Arab USIM. Setelah tamat pengajian pada tahun 2007, beliau berpeluang membina kerjaya di USIM sangat berbesar hati untuk kembali berbakti sebagai jurulatih debat Bahasa Arab di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar sejak tahun 2008. Ikuti rangkuman temu bual yang disediakan.
S1 Pengalaman menjadi jurulatih debat
Semenjak menerima amanah sebagai jurulatih debat, Alhamdulillah membawa rezeki yang tidak pernah putus apabila pernah memenangi beberapa kejohanan bersama pasukan yang berbeza antaranya Johan Debat Piala Diraja Kategori Bahasa Arab, Johan Debat Asean, Johan Debat Maal Hijrah dan beberapa kejohanan debat anjuran universiti di Indonesia. Antara lain, saya dilantik sebagai jurulatih debat beberapa sekolah seperti Kolej Islam Sultan Alam Shah dan Sekolah Maahad Hamidiah Kajang. Mengajar pelbagai peringkat kelompok pelajar menuntut saya untuk sentiasa bersedia menyusun latihan dan mengimbangi masa pengajaran di USIM dan di luar kampus.
Kadangkala apabila ditanya tentang kesukaran mengajar saya akui tiada perkara yang mudah, tetapi sesukar mana perjalanan latihan debat, kesukaran itulah yang menjadikan kejayaan atau kemenangan lebih bernilai dan bermakna. 2019 merupakan tahun yang ke-12 saya melatih pasukan debat Bahasa Arab USIM yang cabarannya tidak sama, tetapi melatih pelajar yang saya umpamakan seperti keluarga sendiri menjadikan saya tidak memilih untuk mengeluh. ‘Kalau sekadar mengeluh, juara tidak akan dilahirkan.’
S2 Memuji komitmen pelajar mengikuti latihan yang disediakan
Alhamdulillah, walaupun masing-masing ada komitmen kepada keluarga dan pengajian, komitmen pasukan debat ini mengikuti latihan yang diatur harus dipuji. Mereka tetap memberikan yang terbaik, ada kalanya perlu menghabiskan hari minggu di dalam bilik debat dan pulang ke kediaman pada lewat malam pada saat menjelangnya pertandingan, namun mereka kekal komited. Ternyata, pasukan ini bijak mengatur masa sebaiknya dan menghargai setiap masa yang terluang. Saya selalu katakan kepada mereka, latihan menuntut pengorbanan. Tiada usaha yang mengkhianati kejayaan.
S3 Teknik latihan atau strategi sebelum bertanding
Setiap pendebat Bahasa Arab perlu menguasai tiga asas utama. Pertama, menguasai Bahasa Arab itu sendiri dari segi tatabahasa, pembinaan ayat dengan cepat yang berasaskan idea, pemilihan perkataan dan istilah-istilah Arab berkaitan dengan tajuk. Kedua adalah kemahiran pengucapan awam, lantunan suara, gaya, keyakinan dan tempo suara. Ketiganya, kemahiran perdebatan, iaitu kemahiran menganalisa tajuk, membaca fakta berkaitan dan membina sudut pandang berbeza pada suatu isu.
Setiap kali latihan pasukan debat akan diberikan beberapa perkataan dan gaya Bahasa Arab yang menarik untuk digunakan dalam debat. Pelajar juga akan menganalisa video debat Bahasa Arab untuk melihat pembinaan hujah dan cara pendebat lain berhujah dan menganalisa hujah. Analisa pada video debat akan digunakan dalam latihan debat dan selepas latihan debat, pasukan ini akan dikomentari untuk penambahbaikan.
Antara strategi lain adalah menyediakan latihan tiga bulan sebelum bertanding di mana-mana kejohanan. Semasa menjalani latihan pelajar akan berbincang isu semasa dengan menggunakan Bahasa Arab. Apa yang lebih utama, latihan debat dijalankan secara serius selama sebulan sebelum pertandingan, berbanding latihan pada awalnya sekitar sekali atau dua kali seminggu.
S4 Adakah kemenangan pasukan debat USIM di Doha, Qatar sesuatu yang telah dijangka?
Secara jujurnya saya katakan setiap kali menyertai mana-mana pertandingan, saya tidak membebankan pelajar dengan ‘kemenangan’. Pada pertandingan tahun lalu, USIM telah ke peringkat akhir bagi kategori bukan penutur dan mendapat Naib Johan. Oleh itu, untuk edisi kali ini saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepada pasukan debat untuk mengulangi pencapaian yang sama.
Berada dalam kategori bukan penutur untuk edisi kali ini d galas sebagai satu amanah kerana membawa harapan universiti untuk ulangi perkara yang sama pada tahun lalu. Namun, adat bertanding seperti pertandingan debat ianya banyak bergantung kepada tajuk dan kehakiman. Kerana itu saya sentiasa ingatkan pelajar, kita hanya mampu menentukan sejauh mana kesungguhan kita dalam latihan tetapi soal keputusan atau kemenangan ianya bukan dalam kuasa kita untuk menentukan.
Maka, atas alasan itu yang penting adalah memberi semaksimum usaha untuk mempersembahkan yang terbaik sewaktu perdebatan. Jika menang, itu adalah kelebihan, jika tidak berjaya, perjuangan untuk menjadi yang terbaik pada masa akan datang masih belum terhenti.
S5 Kata-kata perangsang yang selalu diberikan kepada pasukan debat
Saya melihat pelajar saya seperti adik-adik saya, kerana bagi saya menasihati mereka tidak sekadar sebagai bekalan untuk menempuhi pertandingan. Saya acapkali mengingatkan mereka setiap kesukaran pelu dihadapi dengan tenang untuk membentuk kita menjadi insan yang lebih baik.
Seseorang yang berlari dengan laju hari ini bukan kerana kakinya tetapi kerana pada waktu kecilnya dia baru mula belajar berjalan dan pada saat dia jatuh, tidak pernah putus asa malah kembali bangkit melawan kegagalan.
‘Melawan kesukaran dalam hidup menjadikan kita lebih baik.’ Saya selalu tekankan falsafah ini waktu pembelajaran sebagai kata semangat. Memberi kata-kata motivasi adalah pendekatan saya menyemarakkan rasa semangat sewaktu latihan dan kerap mengingatkan mereka, apabila menghadapi kesukaran, hadapinya dengan berani supaya ia akan mengajar kita tidak lari dari masalah, itu bukanlah fitrah kita kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.
S6 Kepentingan mahasiswa menyertai aktiviti luar kuliah
Pelajar seringkali menganggap ilmu itu memadai dengan apa yg ada di dalam kuliah. Pelajar harus menyedari walaupun ilmu dan pembelajaran di dalam kuliah membina minda, tetapi untuk membina watak mahasiswa yang lebih berketrampilan, aspek pembelajaran di luar dewan kuliah juga perlu diberi perhatian. Bagi saya, tiada istilah rugi dalam membina potensi diri melalui penglibatan diri dalam aktiviti luar kuliah, kerana apa.. kerana rugi yang sebenar adalah apabila kita hanya sekadar menanti proses kematangan berlaku tanpa daya dan usaha sendiri untuk mengasah bakat dan potensi diri.