Bumi adalah merupakan antara makhluk ciptaan Allah SWT yang dipinjamkan kepada manusia untuk dijadikan sebagai tempat tinggal sementara sebelum berpindah ke alam akhirat (al-Mulk: 67: 15). Ia tidak menjadi hak milik kekal bagi seseorang bahkan ia adalah sesuatu yang akan diwariskan daripada satu generasi manusia kepada generasi yang lain sehinggalah tiba saat kehancurannya. Ikuti temu bual bersama Dr Shamsul Hakim, Pensyarah Fakutli Pengajian Quran dan Sunnah tentang sudut pandangan Islam dalam menjaga nikmat yang dikurniakan Allah ini.

Q1 Apa pandangan dari perspektif Islam mengenai kepentingan melindungi alam sekitar dengan meminta umatnya tidak menebang pokok, mencemarkan sungai, laut dan udara?

Kehidupan manusia di bumi ini sebenarnya turut dikongsi bersama-sama dengan makhluk lain seperti jin, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Mereka turut sama memiliki hak ke atasnya. Kesemua makhluk ini ditentukan kehidupannya oleh Allah SWT dalam keadaan saling memerlukan antara satu sama lain dalam konsep yang dikenali sebagai kitaran kehidupan alam. Sebarang pencabulan hak ke atas makhluk-makhluk lain yang turut sama mendiami alam ini seperti mencemarkan, merosakkan, membunuh tanpa keperluan, dan memusnahkan sumber alam akan membawa kepada ketidak seimbangan alam. Ia akhirnya tetap akan memberi kesan dan menjejaskan kualiti kehidupan manusia sebagai salah satu elemen dalam rantaian kehidupan di alam ini. Oleh kerana itu, Islam menegaskan kepentingan memelihara dan memulihara alam ini ke atas setiap manusia demi memastikan kelestarian hidup di alam ini. Sebarang bentuk pencemaran dan kerosakan ke atasnya dikira sebagai perbuatan dosa dan maksiat.

Q2 Tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mencemarkan alam semula jadi menyebabkan kepentingan orang ramai terjejas. Apa pandangan Islam terhadap mereka ini?

Islam memandang pelaku kerosakan ke atas muka bumi seperti mencemarkan darat, air dan udara sebagai pelaku maksiat (orang yang melakukan larangan Allah SWT). Ia boleh menjadi punca seseorang itu terjerumus ke dalam neraka seperti seperti kisah seorang wanita yang dimasukkan ke dalam neraka kerana mengurung seekor kucing sehinga mati (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar R.Anhuma). Ini bermaksud pelaku kerosakan ke atas alam ini boleh digolongkan dalam kalangan pelaku dosa-dosa besar.

Bahkan mereka yang mencemarkan alam ini sehingga menjejaskan kepentingan orang ramai adalah seperti golongan yang disebutkan dalam peringatan daripada Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasululah SAW bersabda: “Berhati-hatilah kamu akan dua hal yang terlaknat”. Para sahabat bertanya: “Apakah dua hal terlaknat itu wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab: “Orang yang buang air di tengah jalan atau di tempat manusia berteduh” (Hadith Riwayat Muslim).

Mereka yang membuang air di laluan perjalanan atau tempat teduh manusia sudah diancam untuk tergolong dalam kalangan yang akan dilaknat, apatah lagi seandainya perlakuan seseorang itu hingga menyebabkan bukan setakat manusia sahaja terkesan dengannya, bahkan alam seluruhnya seperti pembuangan sisa toksik dan bahan tercemar ke dalam sungai dan saliran-saliran air.

Q3 Hubungan manusia dengan alam ciptaan Allah SWT. Jika dilihat sejauh mana kesedaran masyarakat hari ini terhadapnya?

Islam sangat menekankan tentang konsep ini dalam kehidupan seseorang manusia. Seorang manusia bukan sekadar perlu menjaga hubungan baiknya dengan Tuhannya semata-mata, bahkan dengan seluruh makhluk. Sebarang bentuk kezaliman akan mendatangkan kesan yang buruk terutamanya untuk kehidupan di akhirat (pembalasan). Kezaliman kepada Tuhan (syirik) adalah dilarang, begitu juga dengan kezaliman kepada makhluk-makhluk yang lain sama ada terhadap manusia mahu pun ke atas flora dan fauna. Contoh seorang wanita yang diazab kerana menzalimi seekor kucing sudah cukup memberikan peringatan bahawa manusia perlu memiliki kesedaran untuk berlaku adil kepada semua, Allah dan sekalian makhluknya. Keadilan kepada makhluk-makhlukNya adalah dengan memelihara hak alam ini untuk hidup bersama-sama dan mengelakkan dari melakukan kerosakan, pencemaran dan kemusnahan ke atasnya.

Ia perlu dimasukkan ke dalam agenda kehidupan beribadah seseorang muslim dengan tidak menghadkan urusan ibadah mereka hanya kepada ritual-ritual tertentu semata-mata, bahkan ia mestilah meliputi segenap aspek pengabdian diri kepada Tuhan (mentaati segala perintahNya, dan menjauhi segala laranganNya) termasuklah perintahNya supaya tidak merosakkan bumi (al-A’raf: 7: 56).

Q4 Beberapa kejadian pencemaran alam sekitar berlaku kebelakangan ini seperti di Selangor dan Port Dickson. Apa pandangan atau langkah proaktif yang sesuai dalam menanganinya?

Islam telah menunjukkan kaedah-kaedah dalam menerapkan kefahaman dan penghayatan manusia ke atas kepentingan memelihara kelestarian alam sekitar dan menjauhi perbuatan merosakkan dan mencemarkannya. Ia bermula dari menanamkan kefahaman dan keyakinan menerusi ilmu dan kesedaran terhadap kepentingan memelihara alam ini dan serta meyakini adanya konsep pembalasan melibatkan pahala dan dosa selain dari keyakinan bahawa ada yang memerhati dan mengetahui segala tingkah laku manusia sama ada secara terang-terangan atau pun tersembunyi. Manusia turut sama perlu kembali disedarkan bahawa bumi ini adalah sesuatu yang bersifat pinjaman, bukan kurniaan kekal. Ianya akan diwarisi oleh generasi-generasi akan datang. Cara manusia berinteraksi dengan alam ini akan menentukan bentuk bumi yang akan diwarisi oleh generasi akan datang, adakah ia indah terpelihara atau sudah tercemar.

Silibus-silibus berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam ini hendaklah diperkasakan di setiap peringkat pengajian. Dalam masa yang sama, syariat Islam juga telah menggariskan batasan perlakuan manusia menerusi hukum-hakamnya. Ia telah meletakkan ketetapan dalam sesuatu perintah atau larangan yang mesti dipatuhi oleh manusia. Ia akan memberikan kesan terhadap amalan seharian manusia seperti menjimatkan air ketika bersuci dan berwudhuk, larangan melakukan kerosakan dan kezaliman, menghormati hak makhluk lain dan sebagainya. Di sini, dapat difahami bahawa keperluan wujudnya undang-undang dalam memelihara tindak tanduk manusia ke atas alam ini sangat penting. Manusia tidak boleh dibiarkan semata-mata berpandukan kepada kehendak diri mereka semata-mata, sebaliknya mereka perlu dipandu dan dibimbing menerusi penguatkuasaan undang-undang dan pelakasanaan hukuman khususnya melibatkan pemeliharaan kelestarian alam sekitar demi menjami kemaslahatan orang ramai dalam segenap isunya.

Selain itu, usaha pembudayaan menerusi akhlak dan sikap manusia terhadap alam ini hendaklah sentiasa ditekankan semenjak dari usia kecil lagi sehingga ia benar-benar menjadi sikap dan budaya masyarakat. Sikap buruk terhadap alam seperti suka membuang sampah merata-rata, membazir sumber alam, dan mencemarkannya adalah sesuatu perkara yang perlu dibendung dari awal usia supaya ia menjadi tabiat dalam diri manusia. Inilah antara elemen akhlak yang perlu dimasukkan ke dalam diri anak-anak kita selain dari akhlak-akhlak mulia yang lain.

Kempen-kempen kesedaran tidak wajar difokuskan pada waktu-waktu tertentu semata-mata, bahkan ia wajar diteruskan sepanjang masa. Selain itu, penekanan dan penegasan terhadap penggunaan teknologi hijau yang mampu memelihara dan memulihara alam hendaklah ditekankan dalam segenap cabang kehidupan manusia. Institusi-institusi agama perlu turut sama dilibatkan dalam usaha ini seperti masjid-masjid dan surau-surau. Alatan penjimatan air dan kitar semula air wudhuk, penggunaan mentol lampu jimat tenaga, dan penggunaan tenaga solar antara contoh usaha-usaha ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan alam yang mesti digerakkan dengan lebih aktif lagi pada masa hadapan.

Q5 Islam melarang dan membenci orang yang membuat kerosakan. Mohon ustaz perincikan?

Ini kerana ia selari dengan firman Allah SWT: “Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan (al-Qasas: 28: 77).

Apa sahaja bentuk kerosakan di atas muka bumi, ianya adalah termasuk dalam perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan dibenci olehNya. Ia selari dengan fitrah manusia sendiri yang sukakan keindahan dan kecantikan. Sesiapa yang melakukan kerosakan ke atas muka bumi, sebenarnya dia sedang merosakkan dirinya sendiri (fitrah dirinya yang sukakan keindahan dan kecantikan). Tamabahan pula, seluruh makhluk di muka bumi ini adalah milik Allah SWT, maka tidak sewajarnya manusia merosakkannya. Manusia pula hanya diberi pinjam kehidupan di bumi ini, dan akan tiba masanya kita mesti memulangkan kembali kepada Allah SWT. Sebarang kerosakan yang dibuat padanya pasti akan dihitung kira ke atasnya.