NILAI, 9 Jun 2023 – Seramai 62 murid Kolej Genius Insan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 baru-baru ini. Keterujaan jelas kelihatan apabila masing-masing memperolehi keputusan yang cemerlang dengan seorang pelajar memperoleh 11A+, 13 orang murid memperoleh keputusan 11A, manakala 13 orang lagi memperoleh keputusan 10A.
Ahmad Shauqi Afif Adnan Kameng dari Kolej Genius Insan USIM yang merupakan anak kedua dari enam beradik yang berasal dari Banting, Selangor menjadi antara pelajar yang dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang SPM 2022 yang peroleh 11A+.
Mengimbas semula amalan yang dilakukakan sebelum peperiksaan SPM berlangsung, Ahmad Shauqi Afif menyertai kelas tambahan dari pusat tuisyen luar secara dalam talian berikutan penularan pandemik COVID-19, juga sebagai langkah yang selamat untuk mengikuti silibus pembelajaran.
Beliau turut mempersiapkan nota kecil sejak dari tingkatan 4 untuk subjek sains seperti Biologi, Fizik, dan Kimia. Baginya dengan menulis dapat menguatkan daya ingatan dan mengukuhkan isi pembelajaran subjek serta memulai dengan menggunakan buku latihan sebagai pengukuhan asas. Setelah dapat menguasai suatu topik, beliau akan mula menyelesaikan permasalahan/silibus yang rumit dan mencabar agar dapat membina pemahaman yang lebih terperinci.
Menjelang peperiksaan SPM pula, beliau akan mengulangkaji semula nota lama dan mula membina jadual belajar yang lebih tersusun dan fleksibel, yang mana tidak menganggu waktu rehat atau waktu riadahnya.
“Saya bantu dan ajar rakan-rakan yang lain bagi subjek yang saya sudah mahir, lagi banyak saya ajar, lagi banyak saya faham dan saya masih meneruskan latihan kendiri secara konsisten serta doa dan tawakal” ujarnya.
Aktif dalam kegiatan kokurikulum dengan menjawat jawatan sebagai Exco Kesukanan dan Rekreasi tahun 2022 di KGI, beliau bercita-cita untuk meneruskan pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) sebagai seorang Software Programmer.
Antara tips yang dikongsikan oleh beliau ialah dengan mengelakkan belajar pada saat akhir, bina jadual harian yang fleksibel, dan tidak meletakkan tekanan yang tinggi kepada diri sendiri, kerana hal ini akan menganggu proses pembelajaran serta sentiasa menyemai rasa hornat kepada semua pendidik termasuklah menjaga tutur kata serta menyiapkan setiap tugasan yang diberikan.
Beliau turut berkempatan menitipkan kata-kata semangat kepada semua calon SPM akan datang, “Teruskan usaha untuk mengejar cita-cita atau impian, belajar secara bersungguh-sungguh, sentiasa hormat ibu bapa dan semua tenaga pengajar yang memberi ilmu. Jangan pernah putus asa dengan apa pun yang bakal terjadi dan akhir sekali, ingat SPM ini bukanlah segala-segalanya, tetapi SPM ini hanyalah satu titik permulaan untuk mengorak langkah yang seterusnya”.
Sementara itu, Dr Mahiz Spawi Pengarah KGI mengucapkan tahniah kepada semua pelajar SPM 2022 atas kejayaan masing-masing, dan mendoakan agar semua pelajar berjaya walau di mana sahaja meraka berada serta mengharapkan lebih ramai yang akan memilih untuk menyambung pengajian di USIM kelak.
Disediakan oleh:
Saraina Kassim
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan