NILAI – Harapan Elly Sentia Hamdin, 20 dari Matu, Sarawak adalah bercita-cita ingin kembali menabur bakti kepada masyarakat dengan menjadi seorang guru agama di negeri kelahiran beliau setelah menamatkan pengajian beliau kelak.

Anak ketiga daripada empat beradik yang ditawarkan mengikuti program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dengan Kepujian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini berkata, kekurangan guru Pendidikan Islam di daerah kelahiran beliau membuatkan beliau menanam cita-cita untuk menjadi seorang guru Pendidikan Islam agar dapat kembali berbakti kepada masyarakat.

Berasal dari keluarga nelayan, beliau yang merupakan satu-satunya harapan keluarga yang menyambung pengajian di peringkat yang tinggi berikutan kekangan kehidupan melahirkan rasa syukur dengan penempatan pengajian ini yang juga merupakan pilihan pertama beliau dan berharap dapat meningkatkan kehidupan keluarganya pada masa akan datang sejurus menamatkan pengajian.