NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) rangkul Naib Johan National Dental Intervarsity Games (NDIVG) 2024 dengan pungutan 16 pingat yang berakhir semalam di Kompleks Sukan Tunku Najihah (KSTN), USIM.

Johan dimenangi oleh AIMST University dengan membawa pulang piala pusingan manakala Tempat Ketiga dimenangi oleh Universiti Sains Malaysia (USM).

Tahun ini USIM diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi penganjuran NDIVG 2024 dengan kerjasama Malaysian Dental Student Association (MDSA). Acara ini mengumpulkan seramai 1,300 mahasiswa pergigian dari 13 fakulti pergigian seluruh Malaysia yang memulakan permainan bermula 10 hingga berakhir semalam 12 Mei 2024.

Sebanyak 14 acara sukan yang dipertandingkan iaitu acara olahraga, bola jaring, bola tampar, bola keranjang, futsal, frisbee, dodgeball, memanah, tarik tali, badminton, catur, ping pong, aerodance dan varsity chant.

Naib Canselor Prof Dato Ts Dr Sharifudin Md Shaarani dalam ucapan pembukaannya berkata, kesihatan amat penting dan sememangnya pengurusan sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada warga USIM untuk menyertai aktiviti sukan bagi melahirkan bakat baru sebagai bakal atlet yang berpotensi untuk mewakili USIM di kejohanan sukan di peringkat yang lebih tinggi serta menggalakkan peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal.

“Penglibatan pelajar merupakan suatu perkara yang penting dalam membina budaya hidup sihat dan cergas yang memberi impak yang positif kepada universiti dalam tempoh jangka panjang disamping memupuk budaya cergas dan cerdas selain daripada semangat kerja berpasukan serta integrasi antara jantina dan setiakawan yang sihat”.

Ujarnya lagi, melalui usaha ini juga dapat menonjolkan imej Universiti Awam dan Swasta yang aktif dalam kegiatan berasaskan sukan dan rekreasi. Semoga kejohanan ini mampu membawa imej yang positif terhadap perkembangan aktiviti luar kelas.

Sementara itu, Naufal Haqim Nazri, 22, Ketua Kontigen Fakulti Pergigian (FPg) USIM berkata, target kami pada mulanya hanya15 pingat untuk dirangkul, tetapi kami menangi 16 pingat kali ini dan kami bersyukur atas kemenangan ini dan hanya beza dua pingat dengan pihak lawan iaitu Juara oleh AIMST University.

“Kami berjaya mendapatkan 6 emas bagi acara Futsal Lelaki, ⁠memanah perempuan, ⁠pingpong single lelaki, pingpong single perempuan, ⁠pingpong regu lelaki dan larian 4x400m lelaki”.

“Manakala 6 pingat perak dimenangi oleh acara bola tampar lelaki, badminton perseorangan perempuan, ⁠memanah lelaki, ⁠pingpong regu perempuan, acara balapan 200m dan 400m lelaki”.

“4 gangsa pula bagi acara pingpong regu campuran, acara balapan ⁠400m dan 800m lelaki dan catur. Kami semua telah menjalani latihan intensif dan telah berusaha sehabis baik”, katanya dalam sesi temu ramah semalam.

 

 

Majlis pembukaan turut dihadiri ialah Profesor Dr. Zamri Radzi selaku penaung MDSA, Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Muhammad Taufik Mohd Nor Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), dan Encik Mohd Hariri Mohamad Daud, Ahli Lembaga Pengarah Universiti.