SHAH ALAM – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya menewaskan Universiti Malaya (UM) pada peringkat akhir pertandingan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara 2024 sekali gus dinobatkan sebagai johan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara 2024 yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam, semalam.

USIM membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, termasuk geran Sekretariat Rukun Negara (SRN) berjumlah RM10,000, piala pusingan, buku terbitan DBP dan sijil penyertaan pertandingan.

Pasukan debat tersebut diwakili oleh Nur Rasyiqah Unigkutti, Fakulti Syariah dan Undang-Undang; Muhammad Najmie Abdullah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang; Ummu Unaisah Nordin, Fakulti Ekonomi dan Muamalat; dan Dini Batrisyia Azlan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Nur Rasyiqah Unigkutti juga turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Akhir dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,700.

Mengangkat tema “Menjiwai Rukun Negara”, sebanyak 200 orang pembahas dengan penglibatan 50 pasukan dari institusi Pendidikan tinggi  telah menunjukkan kehebatan masing-masing. Acara bermula pada 3 Mei 2024 hingga 5 Mei 2024 (secara dalam talian) dan 15 Mei hingga 16 Mei 2024 secara fizikal.

Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara 2024 ini merupakan anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan Kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Tinggi, Sekretariat Rukun Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Majlis Debat Universiti Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka