CHRISTCHURCH – Ahmad Iqbal Hadi Mohd Zamani, pelajar Fakulti Pengurusan dan Kepimpinan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memilih Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand untuk mengembangkan syiar Islam dalam menyampaikan khutbah dan mengajar Al-Quran kepada komuniti sekeliling.

Pelajar Tahun 4, Program Dakwah dan Pengurusan Islam yang juga merupakan anak kelahiran Gombak, Selangor berusia 23 tahun ini memulakan latihan industrinya pada 18 Mac 2024 dan dijangka tamat pada 5 Julai 2024.

Iqbal juga ditemani dua lagi rakannya yang turut menjalani Latihan Industri di tempat sama iaitu Muhammad Aiman Mohamad Noradi dan Abdul Basit Mat Daik.

“Saya memilih Masjid Al Noor kerana ingin mencabar diri dan menimba pengalaman bekerja di luar negara. Masjid ini menarik perhatian saya kerana keunikan yang dimiliki, iaitu perpaduan pelbagai etnik, budaya, dan mazhab yang berbeza, menjadikan masjid tersebut sebagai entiti penyatuan ummah,” kata Iqbal.

Pandangan mazhab dan budaya yang berbeza sering menjadi halangan dalam pengurusan masjid. Kekurangan tenaga pendakwah juga menyukarkan usaha menyebarkan dakwah. Walau bagaimanapun, pengalaman belajar tentang pelbagai budaya masyarakat yang berbeza di sana sangat berharga baginya.

“Pengalaman ini adalah satu pelajaran yang sangat berharga dan saya berharap dapat menggunakannya untuk kebaikan ummah pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Masjid Al Noor bukan hanya tempat ibadah, tetapi juga pusat dakwah di Christchurch. Ia menjadi destinasi pelancongan, menawarkan kelas untuk mualaf, dan berfungsi sebagai sumber rujukan Islam. Komuniti Muslim di Christchurch terdiri daripada lebih 30 etnik dan pelbagai mazhab berjumlah sekitar 4,000 orang.