NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Mufti Negeri Kedah (JMNK) bertempat di Executive Lounge, Bangunan Canselori pada 5 Jun 2024 baru-baru ini. Majlis ini telah dihadiri oleh Mufti Negeri Kedah iaitu Sahibus Samahah Yang Berbahagia Dato’ Paduka Sheikh Fadzil Bin Haji Awang, Timbalan Mufti dan Pegawai daripada Jabatan Mufti Negeri Kedah.

Memorandum Persefahaman ini adalah bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama di antara USIM dan Jabatan Mufti Negeri Kedah dalam bidang penyelidikan, pendidikan, dan pengembangan ilmu Islam. Melalui MoU ini, kedua-dua pihak telah bersepakat untuk menjalankan pelbagai program dan aktiviti yang berteraskan kepada pengajian Islam yang lebih holistik dan komprehensif.

Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan melalui kerjasama ini termasuklah program pertukaran pelajar industri, pembangunan projek e-tauliah mengajar, dan projek penyelidikan tahqiq kitab tafsir surah Yasin karangan Sheikh Idris al-Marbawi.

Naib Canselor USIM, Yang Berbahagia Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Bin Md Shaarani, menyatakan bahawa kerjasama ini adalah selaras dengan objektif USIM iaitu untuk memartabatkan pendidikan Islam serta membawanya ke dalam arus perdana pendidikan negara. “Kerjasama dengan Jabatan Mufti Negeri Kedah ini merupakan langkah strategik dalam usaha kita untuk memperkasa pendidikan Islam yang lebih inklusif dan relevan dengan keperluan semasa,” ujar beliau.

Sementara itu, Mufti Negeri Kedah, Sahibus Samahah Yang Berbahagia Dato’ Paduka Sheikh Fadzil Bin Haji Awang, mengalu-alukan kerjasama ini dan menekankan pentingnya sinergi antara institusi pendidikan tinggi dan jabatan agama dalam memperkukuh dan memperluas penghayatan ilmu Islam di kalangan masyarakat. “MoU ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, tetapi juga kepada ummah secara keseluruhan,” tambah beliau.

Memorandum Persefahaman (MoU) ini diterajui oleh Pusat Khazanah Ilmu Turath (U-KIT) dan Pusat Kemajuan Profesional dan Pendidikan Berterusan (USIM PACE). Dengan termeterainya MoU ini, diharapkan kerjasama di antara USIM dan Jabatan Mufti Negeri Kedah akan terus berkembang dan memberi impak positif yang berterusan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan Islam di Malaysia.

 

Sumber:
Husna Mohd Noor