Farah Nadiah Mat Kir
Farah Nadiah Mat KirPelajar Program Pengurusan dengan Pelancongan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM

7 daripada 10 orang akan menghadapi masalah pengurusan masa sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Secara logiknya, semua orang di dunia ini diberikan hak yang sama iaitu 24 jam dalam satu hari, tiada orang yang dapat 1 saat lebih atau kurang. Kenapa ada orang yang mampu menjadi produktif dan dapat mencapai kejayaan dalam hidup mereka? Ia kerana mereka mengejar matlamat hidup mereka dengan menguruskan masa yang efektif sebagai keutamaan.

Pengurusan masa merangkumi cara individu merancang, mengatur, dan mengawal cara mereka menggunakan masa setiap hari. Ia penting kerana masa adalah sumber yang tidak dapat diputar semula, maka kecekapan dalam menguruskan masa menjadi kunci kejayaan dalam mencapai matlamat dan impian. Dalam dunia yang semakin sibuk ini, pengurusan masa boleh dikatakan kemahiran penting yang setiap individu harus kuasai untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan. Seperti peribahasa Melayu, “Masa itu emas”. Kerana begitu berharganya masa ianya diibaratkan dengan emas yang sangat berharga dan bernilai. Dengan mampu menguruskan waktu dengan efektif, seseorang dapat meningkatkan produktiviti, mengurangkan tekanan, dan mencapai keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerjaya.

Salah satu aspek penting dalam kemahiran pengurusan masa adalah kebolehan untuk merancang jadual yang efektif. Memperuntukkan masa yang mencukupi untuk setiap tugas dan aktiviti membantu mengelakkan situasi di mana seseorang terburu-buru atau terlalu lama dalam menyelesaikan sesuatu. Menetapkan keutamaan untuk tugas-tugas yang paling penting juga membantu dalam memastikan bahawa kerja yang perlu diselesaikan benar-benar dilakukan.

Selain itu, kemahiran pengurusan masa juga melibatkan keupayaan untuk mengelakkan perangkap multitugas. Meskipun banyak yang mempercayai bahawa dengan melakukan banyak tugas sekaligus dapat meningkatkan produktiviti, sebenarnya multitugas dapat mengurangkan kualiti kerja dan penekanan yang dihasilkan. Fokus pada satu tugas pada satu masa dapat membantu meningkatkan prestasi dan memastikan bahawa setiap tugas diselesaikan dengan baik.

Islam juga menekankan tentang pengurusan masa. Di dalam al-Quran, Allah SWT telah menegaskan tentang kepentingan masa khususnya kepada manusia yang ingin berjaya. Dalam Surah Al-‘Asr ayat 1-3, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”.

Dalam dunia yang sentiasa sibuk dan penuh cabaran ini, kemahiran pengurusan masa menjadi semakin penting. Individu yang mahir dalam menguruskan masa cenderung lebih berdaya, berfokus, dan berjaya dalam mencapai matlamat yang ditetapkan. Oleh itu, melaburkan sedikit masa untuk memperbaiki teknik pengurusan masa boleh membawa impak yang besar terhadap kehidupan secara keseluruhan. Menurut Nurul Anisah Yusof, Pelajar Perakaunan yang menerima Anugerah Dekan Fakulti Ekonomi Dan Mualamat, Universiti Sains Islam Malaysia, juga mengakui bahawa pengurusan masa ini sangat penting. Pengurusan masa sangat membantu dalam menaikkan keputusan peperiksaan beliau. Kebiasaannya beliau akan membahagikan masa sebaiknya agar sempat untuk mengulang kaji pelajaran. Beliau juga berkata, jika tidak menguruskan masa dengan baik, kemungkinan beliau tidak dapat melaksanakan apa yang telah dirancang sebelumnya.  Penting juga untuk mengambil masa istirehat yang mencukupi dalam pengurusan masa. Rehat yang secukupnya membantu untuk menyegarkan minda dan badan, yang pada akhirnya meningkatkan konsentrasi dan prestasi kerja. Jadi, jangan takut untuk memberikan diri rehat yang diperlukan untuk melindungi kesihatan mental dan fizikal.

Akhir kata, kemahiran pengurusan masa adalah kunci kejayaan dalam kehidupan. Dengan mengasah kemahiran ini, seseorang dapat mencapai matlamat mereka dengan lebih efektif, menjadikan kehidupan lebih teratur, serta menikmati keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Jadi, luangkanlah masa untuk memperbaiki cara menguruskan masa dan lihat perubahan positif dalam kehidupan secara keseluruhan. Ingatlah, setiap detik yang berlalu tidak akan kembali. Kekuatan sebenar terletak pada kebijaksanaan kita merancang masa, bukan pada berapa banyak waktu yang kita miliki, tetapi bagaimana kita memanfaatkannya dengan sebaik mungkin.