NILAI, 8 Mac 2017 – 38 pelajar terdiri dari kakitangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) seluruh Malaysia telah berjaya menamatkan program Pensijilan USIM- BIMB bagi kohort 3&4 dalam satu sesi Majlis Graduasi yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Sijil Peningkatan Kemahiran Profesional USIM-BIMB telah dijalankan sejak Jun 2015 bagi kohort pertama dan kedua iaitu seramai 40 pelajar yang telah bergraduasi.

Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Musa Ahmad dalam ucapannnya melahirkan rasa bangga dan berbesar hati dalam pelaksanaan program ini apabila USIM terpilih sebagai rakan kerjasama BIMB. Program ini merupakan satu inisiatif yang bagus untuk membuka peluang kepada para kakitangan bagi mempertingkatkan mutu serta kualiti kerja harian khususnya dalam bidang pentadbiran.

“Kerjasama ini merupakan satu platform yang baik kepada peserta untuk menimba pengalaman berkaitan dunia kewangan dan perbankan secara komprehensif di samping menjadi sebuah medium merealisasikan konsep ruang pembelajaran atau ‘learning curve’ yang efisien dan berkesan. USIM juga amat mengalukan penganjuran program-program kerjasama dalam bidang-bidang berbeza di masa akan datang”.

Manakala, Prof. Madya Dr Noor Azizi Ismail berkata, program Pensijilan USIM-BIMB ini merupakan platform terbaik untuk memaksimakan kesejajaran hala tuju USIM dan BIMB selaku institusi pendidikan dan kewangan yang berteraskan Islam di negara ini. Di peringkat USIM, program ini telah melibatkan gabungan tenga pengajar bertauliah di USIM, yang terdiri daripada Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Fakulti Ekonomi dan Muamalat serta Pusat Teknologi Maklumat. Kerjasama ini dilihat sejajar dengan salah satu agenda penting BIMB iaitu membina Kumpulan Bakat Dalaman untuk memupuk budaya prestasi tinggi dan produktiviti yang cemerlang.

“Modul-modul yang dirangka di dalam program ini termasuklah Clerical development, MS Office, Office Administration, Essential of Customer Service dan Executive English Languange Programme diyakini mampu melatih dan mengukuhkan kemahiran kakitangan BIMB khususnya di dalam bidang Bahasa Inggeris, kompetensi dan kemahiran ICT”.

“Justeru, para peserta dapat memperlengkapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran, selari dengan keperluan mereka sebagai kakitangan bank yang sentiasa berhubung dan berkomunikasi dengan pelbagai pihak”, jelas Prof Azizi.

Pada akhir majlis, BIMB turut menyerahkan sumbangan sebanyak 40 unit buku rujukan kewangan Islam kepada Perpustakaan USIM dan juga sumbangan zakat berjumlah RM40,000 kepada Tabung Kebajikan Pelajar USIM.

Turut hadir sama, Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad, Dato Sri Zukri Samat.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204