KUALA LUMPUR, 12 April 2018 – Seramai 16 orang anak-anak istimewa berumur 7 hingga 24 tahun dari Yayasan Faqeh diraikan dalam program Tanggungjawab Sosial (CSR) menjalani pemeriksaan gigi di Fakulti Pergigian USIM Pandan Indah Kuala Lumpur.
Program anjuran Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) dengan kerjasama Yayasan Faqeh, Kesatuan Kakitangan Pelaksana (KUSIMA) dan juga Fakulti Pergigian (FPg), USIM ini turut dibantu oleh seramai 20 urusetia bagi memastikan keselamatan anak-anak istimewa ini terjamin yang terdiri dari kalangan autisme, dan syndrome down.
Menurut Encik Asri Hj Husain Timbalan Pengarah (StraComm), USIM menyedari bahawa Universiti pada hari ini tidak hanya sebagai sebuah Institusi ilmu, tetapi turut memainkan peranan sebagai platform untuk pembangunan komuniti di pelbagai lapisan masyarakat. Usaha mendekati komuniti melalui pendidikan juga diharapkan mampu menyuntik kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dalam mengubah status-quo masyarakat.
“Sebagai sebuah universiti berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang menjadi teras utama ini, ia diharapkan dapat membantu membentuk warga universiti yang seimbang. Aspek ini penting dalam memacu negara menjadi sebuah negara yang progresif dari segi ekonomi dan pada masa yang sama membina masyarakat yang mempunyai keluhuran budi dan sifat-sifat yang positif”.
“Selaras dengan objektif utama program iaitu untuk memberi kesedaran kepada komuniti dimana anak-anak OKU juga perlu diberikan pendedahan mengenai aspek kebersihan dan pengurusan diri, selain dapat membantu merapatkan hubungan di antara komuniti dengan Universiti dan membolehkan kerjasama strategik ini dimanfaat secara optimum. Dan yang paling penting anak-anak ini terhibur dan sedikit sebanyak dapat memahami pentingnya menjaga kebersihan gigi”, tambah Encik Asri.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204