NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) telah menerima sumbangan bagi program Seikhlas Wakaf Seindah Ramadan sempena Iftar Perdana USIM 1446H daripada Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menerusi Dana Manfaat Wakaf ASNB. Program ini dianjurkan bersama oleh ASNB, PWZ, dan Pusat Islam USIM dengan kehadiran lebih 1,000 peserta di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM pada 21 Mac 2025.

Majlis ini juga menyaksikan serahan Dana Manfaat Wakaf yang diterima oleh USIM bagi Projek Perolehan Bas Pelajar berkapasiti 40 tempat duduk hasil sumbangan pewakaf-pewakaf yang juga adalah pelabur ASNB sebanyak RM150,000.00. Pada masa yang sama, USIM turut menerima sumbangan Tabung Pembangunan Pendidikan berjumlah RM15,000.00 dan 30 unit komputer riba bernilai RM90,000.00 kepada 30 orang mahasiswa terpilih yang juga merupakan penerima bantuan zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor dalam ucapannya berkata, inisiatif ini mencerminkan peranan penting wakaf dalam menyokong kecemerlangan akademik mahasiswa dengan meringankan beban kewangan serta memperkukuh kemudahan di USIM. Ia juga mencerminkan keprihatinan masyarakat dalam membantu pelajar yang memerlukan serta memperkukuhkan peranan wakaf dalam pendidikan tinggi dan pembangunan komuniti. “USIM berharap agar kerjasama strategik seperti ini dapat terus diperluaskan bagi memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif kepada semua pelajar, khususnya mereka yang kurang berkemampuan”, ujarnya lagi.

Dato’ Ts. Dr. Sharifudin menambah, dengan sokongan berterusan daripada rakan strategik dan masyarakat, USIM beraspirasi untuk menjadi institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam melahirkan graduan yang berdaya saing serta berakhlak tinggi selaras dengan nilai Islam dan kemanusiaan sejagat.

Sementara itu, Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin Pengerusi ASNB Wakalah menzahirkan setinggi tinggi terima kasih kepada pihak pengurusan USIM serta Kompleks Islam Tuanku Muhriz atas kesudian dan memberi peluang kepada para pewakaf ASNB untuk berkongsi rezeki dengan komuniti USIM menerusi instrumen wakaf ASNB Wakalah. “Sumbangan yang kita salurkan hari ini jangan dilihat pada nilai nominalnya saja, tetapi lihatlah pada nilai keikhlasan para pewakaf ASNB yang menyumbang seikhlas hati selaras tuntutan Islam yang menggalakkan umatnya agar saling membantu dan saling mengasihi. Mudah-mudahan Allah menerima sumbangan ini sebagai amal jariah yang berterusan tanpa putus buat mereka yang berwakaf”, ujarnya.

 

 

Sumber: Pusat Wakaf dan Zakat