OSAKA – Nik Ahmad Nik Aziz, 25 tahun, bersama Wan Ahmad Mujahid Wan Fajrulhisham 23 tahun, dua mahasiswa  dari Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjalani pengalaman yang mengujakan di Osaka, Jepun dengan menjalani latihan industri di Pusat Dakwah Jepun sebagai imam terawih.

Selain memimpin solat tarawih, dia dan rakannya turut menjalankan pelbagai aktiviti dakwah salah satu cara untuk menyebarkan keindahan Islam kepada masyarakat setempat.

Setiap hujung minggu, mereka mengadakan street dakwah pada waktu tengahari dan menyediakan juadah berbuka puasa bersama-sama masyarakat setempat.

Ujar Nik Ahmad menceritakan, “Ramai yang berbuka puasa bersama kami, termasuk rakan non-Muslim. Ini merupakan satu cara dakwah untuk mengenalkan keindahan berpuasa serta harmoni kekeluargaan dalam Islam.”

Sebagai imam, Nik Ahmad juga menjadi saksi shahadah saudara baru. Selain itu, dia dan rakannya turut mengambil tanggungjawab untuk mengajar asas-asas Islam kepada mereka, seperti cara wudhuk dan solat.

Apabila ditanya mengenai perasaan dan harapannya sebagai imam tarawih di Osaka, Nik Ahmad berkongsi, “Saya rasa teruja dan berbesar hati untuk mencabar diri di negara luar. Harapan saya, semoga diberi kesihatan oleh Allah agar saya dapat berkhidmat untuk Islam selama di sini.”

Mengenai pesanan dari ibunya, Nik Ahmad mendedahkan, “Mak selalu pesan, timbalah ilmu sebanyak mungkin. Belajar dari yang baik dan yang kurang baik. Sentiasa mencari hikmah dalam kehidupan seharian. Jangan takut gagal untuk mencuba sesuatu yang baik, kerana takut itu sendiri bermakna kita sudah gagal.”

Nik Ahmad rakannya berada di Osaka selama 40 hari, dari 10 Mac hingga 20 April 2024 ini. Mereka menginap di rumah yang disediakan oleh Japan Dawah Centre, bagi memudahkan mereka untuk menjalankan aktiviti dakwah di sana.

Nik Ahmad berharap agar usaha mereka dapat menjadi titik permulaan bagi lebih ramai orang untuk mengenali dan menghargai keindahan Islam, tidak kira di mana mereka berada.