PORT DICKSON – Seramai 116 peserta Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH) 2024 berjaya bergraduasi dan diraikan dalam majlis yang penuh gemilang bertempat di Tasik Villa International Resort Hotel, Port Dickson pada 22 April 2024.

Penyampaian sijil ini telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji.

Program anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) ini merupakan lanjutan dalam meneruskan kejayaan Program Sijil Pengurusan Haji (SPIH) dengan meningkatkan nilai dan kualiti kaedah pembelajaran dan penilaian baharu yang memanfaatkan teknologi serta menyediakan pengetahuan praktikal serta perkongsian dari pakar mentor haji dan umrah.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya berkata, melalui penyampaian ilmu dan kemahiran profesional yang disampaikan, program ini bertujuan menghasilkan pembimbing yang berkualiti dan berpengetahuan dalam bidang ini.

“Kerjasama daripada kedua-dua belah pihak ini telah membawa impak yang signifikan dalam memperkukuhkan kualiti pembimbing haji dan umrah. Dengan pelaksanaan EPIH, kami tidak hanya meneruskan warisan kejayaan SPIH, tetapi juga mengukuhkan lagi komponen pengajaran dan pembelajaran untuk memberikan impak holistik kepada para peserta”, ujarnya lagi.

Memfokuskan penyediaan dan peningkatan nilai melalui penyampaian ilmu dan kemahiran profesional dalam menguruskan jemaah haji dan umrah daripada pelbagai aspek, EPIH juga membuka peluang kepada pekerja industri untuk mendapatkan pendidikan alternatif secara formal melalui pelbagai program berimpak tinggi.

Program ini dijalankan secara hibrid (bersemuka dan dalam talian), membolehkan peserta memberi tumpuan kepada pembelajaran dalam tempoh yang lebih lama dan lebih praktikal. Kaedah penilaian berterusan tanpa peperiksaan akhir memastikan kefahaman peserta dinilai dengan berkesan melalui tugasan individu seperti kuiz, video pembentangan, dan tugasan bertulis.

EPIH menyediakan pelbagai mata pelajaran termasuk Tafaqquh Fi Din, Kecekapan Pengurusan Haji dan Umrah, dan Pengurusan Haji dan Umrah Eksekutif. Setiap komponen mata pelajaran diberi pemberat nilai yang seimbang untuk memastikan peserta mencapai markah lulus yang ditetapkan.