Berikutan musibah banjir yang pernah melanda negara pada beberapa tahun lalu, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr Irwan Subri dan pasukannya membangunkan aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai Aplikasi ‘Fiqh Banjir’.
Berperanan sebagai ahli masyarakat dan kepakaran sebagai ahli penyelidik, Dr Irwan Subri menyifatkan pendekatan kajiannya bersama pasukan adalah bagi menunaikan tanggungjawab sebagai ahli masyarakat bertanggungjawab kepada saudara seIslam. Justeru, aplikasi ‘Fiqh Banjir’ dibangunkan sebagai panduan asas kepada umat Islam bagi menjalankan ibadah ketika berdepan musibah.
Ketika ditemui, Dr Irwan Subri menerangkan aplikasi tersebut bukan hanya untuk mangsa banjir tetapi boleh dimanfaatkan oleh petugas dan sukarelawan yang membantu semasa di lokasi penempatan mangsa banjir. Ikuti temu bual yang disediakan.
Q1 Bagaimana tercetusnya idea untuk membangunkan aplikasi ini?
Idea ini tercetus susulan bencana banjir yang melanda negara di beberapa buah negeri pada tahun 2014. Melihat kepada trend bantuan semasa banjir pada waktu itu, banyak bantuan diberikan oleh badan-badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan sumbangan individu berupa bantuan makanan asas, alat ubat-ubatan dan pakaian. Justeru, saya bersama rakan penyelidik mengambil peluang meneroka aspek lain untuk membantu, lalu membuat keputusan menjalankan penyelidikan berkaitan fiqh banjir.
Permulaan pada masa itu, saya bersama rakan-rakan ke pusat pemindahan mangsa banjir di Temerloh Pahang dan Daerah Maran untuk berjumpa dengan mangsa banjir, petugas dan sukarelawan. Dari situ kami meninjau dan mengetahui apakah isu fiqh atau aqidah yang kerap berbangkit di pusat-pusat pemindahan banjir. Hasilnya, kami menemui lima dapatan berkenaan isu fiqh yang perlu diberi penyelesaian, oleh itu panduan dalam aplikasi ini dibangunkan untuk memberi kemudahan dan kefahaman kepada mangsa banjir yang terlibat.
Alhamdulillah, pada tahun 2015, pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi memperkenalkan satu geran khas dinamakan FRGS banjir dan kami manfaatkan peluang tersebut sebaiknya.
Q2 Apakah isu fiqh berbangkit dari hasil tinjauan di pusat pemindahan mangsa banjir?
Pada peringkat permulaan penyelidikan, kami mendapat antara 30 hingga 40 set jawapan maklum balas seterusnya semasa menjalankan kajian di Temerloh kami berjaya mendapat maklum balas daripada sekitar 400 orang.
Berpandukan tinjauan tersebut, kami berpandangan isu fiqh yang timbul di kebanyakan pusat pemindahan banjir hampir sama. Pertamanya dari segi bersuci yang mana timbul persoalan daripada mangsa banjir dan petugas tentang apakah boleh menggunakan air banjir untuk tujuan bersuci atau berwuduk bila mana tiada sumber air bersih untuk mereka gunakan. Kedua berkenaan penjagaan aurat dan pergaulan, yang boleh kita lihat kebiasaannya mangsa banjir akan ditempatkan di dewan sekolah yang bercampur jantina perempuan dan lelaki yang boleh menimbulkan ketidakselesaan-lebih lagi kepada keluarga yang mempunyai anak perempuan.
Isu ketiga berkenaan ibadah solat tentang adakah petugas boleh melakukan solat jamak dalam keadaan yang tidak menentu semasa banjir. Ia pastinya memerlukan jawapan kukuh sama ada boleh menunaikan solat jamak tanpa qasar ataupun tidak. Keempat berkenaan pengurusan jenazah yang menghadapi masalah bagi mengurus jenazah dan kelima melibatkan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang mengambil hak dan barangan sumbangan mangsa banjir tanpa izin.
Melalu tinjauan, penerokaan dan kajian sebenar, kami juga ke Pulau Pinang bagi mengumpul data yang baharu, di mana sahja tinjauan kami, dapatan yang diperolhi adalah sama daripada mangsa banjir.Justeru, pihak kami penyelidik dari IFFAH, telah menghasilkan satu garis panduan ibadat Ketika banjir.garis panduan ini merangkumi 5 isu tersebut yang diinovasikan dalam bentuk aplikasi versi android untuk mkemudahan masyarakat islam khususnya mangsa yang berada di pusat pemindahan banjir yang sesuai untuk petugas dan sukarelawan yang membantu di pusat pemindahan banjir.
Q3 Bilakah aplikasi ini dilancarkan?
Aplikasi ini dibangunkan sejak tahun 2016, dalam bentuk garis panduan umum dan sekitar tarhun 2017 pula kami bangunkan aplikasi untuk rujukan masyarakat. Aplikasi ini telah pun dipertandingkan dalam pertandingan i-Inova di USIM dan alhamdulillah telah mendapat pingat perak selain mendapatkan maklumbalas positif daripada pengguna.
Hanya carian ‘Fiqh Banjir’ di Playstore akan menyenaraikan lima bab untuk masyarakar mengetahui lanjut berkaitan persoalan berkaitan. Kandungan informasinya pula akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Q4 Adakah pembangunan ini mendapat kerjasama agensi lain?
Pihak kami telah membentangkan garis panduan ini kepada panel kajian Syariah JAKIM dan telah mendapat maklumbalas untuk penambahbaik kandungan aplikasi, Namun besar harapan kami untuk mendapat kerjasama dan sokongan daripada agensi agama peringkat negeri. Kebiasaannya bila berlaku bencana banjir, Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) antara agensi yang terlibat secara langsung. Di PPMB akan ditempatkan seorang Kaunselor atau Pegawai Psikologi yang bertugas bagi membantu memberi khidmat nasihat dan kaunseling.
Mengapa tidak menempatkan Pegawai Agama di lokasi penempatan mangsa banjir untuk memberi nasihat keagamaan, memimpin solat jemaah, melaksanakan aktiviti keagamaan seperti kuliah agama dan kelas pengajian al-Quran dan lain-lain. Ini adalah kerana terdapat situasi mangsa banjir ditenggelami air selama dua minggu dan mangsa banjir tergendala membuat urusan beribadah kerana tiada rujukan khas tentangnya. Inilah masanya untuk kita sama membantu memenuhi kehendak rohani selain keperluan fizikal.
Q5 Harapan dan perancangan masa depan?
Aplikasi fiqh banjir ini juga dijadikan sebagai rujukan oleh pihak JAKIM. Justeru, pada masa akan dantang kami berharap agar dapa bekerjasama dengan Jabatan Agama untuk memperkemaskan lagi aplikasi ini sebagai panduan umat Islam. Kami merancang untuk menyediakan panduan ini dalam bentuk booklet untuk diinovasikan dalam kit panduan yang di dalamnya dilengkapi set set al-Quran/Iqra’, kit spray wuduk, kit tayammum dan keperluan beribadah yang lain.
Semoga usaha kecil seperti ini dapat membantu meringankan bebanan mangsa banjir yang pastinya dalam keadaan tidak cukup. Inilah masa untuk kita mempamerkan rasa kebersamaan bak kata pepatah ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’.