Tahniah diucapkan kepada YBhg. Prof. Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban atas pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) oleh Menteri Pendidikan berkuat kuasa bagi tempoh tiga tahun sebagai bermula 15 Disember 2019 hingga 14 Disember 2022.
Q1 Bagaimana Prof. melihat pelantikan ini dalam perjalanan kerjaya Prof. apabila diberi kepercayaan menggalas portfolio ini?
Alhamdulillah, sebelum ini pernah diberi kepercayaan menggalas portfolio ini. Saya mempunyai pengalaman dalam menguruskan hal ehwal penyelidikan dan inovasi selama lebih kurang 10 tahun. Selain itu, saya juga merupakan taskforce kepada penyediaan penilaian Malaysia Research Assessment (MyRA) dan Higher Institution Centre of Excellence (Hi-COE) serta menganggotai jawatankuasa lain di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang melihat kepada pembangunan dan kemajuan penyelidikan negara. Dengan berbekalkan pengalaman dan pengetahuan ini InsyaAllah saya akan gunakan sebaik mungkin untuk meletakkan penyelidikan USIM ke satu tahap yang boleh kita banggakan.
Q2 Pada pandangan Prof., apakah keunikan dan potensi yang ada pada bidang penyelidikan USIM?
Saya percaya kepada kemampuan USIM yang sentiasa mengetengahkan idea dan potensi penyelidikan dan inovasi baharu. Ia diterjemahkan aspirasinya untuk membudayakan penyelidikan dan inovasi yang berimpak besar kepada ummah. Antaranya Translational Research-penyelidikan yang berimpak dan boleh dimanfaatkan oleh komuniti dan masyarakat yang mempunyai nilai tersendiri melalui integrasi ilmu naqli dan aqli yang berpaksikan lima prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Melaluinya para penyelidik USIM bersama pemegang taruh mampu untuk menghasilkan aktiviti penyelidikan yang bertaraf global kerjasama para mahasiswa untuk kebaikan dan kelestarian komuniti dan ummah setempat. Selain itu, kecemerlangan USIM dalam bidang penyelidikan dan inovasi dapat dibina kekuatan dalam bidang halal dan fatwa melalui melalui International Fatwa and Halal Centre (iFFAH).
Q3 Apakah isu dan cabaran kepada USIM untuk memastikan objektif penyelidikan USIM tercapai?
Saya percaya di mana-mana Universiti Awam juga mengadapi kesukaran yang sama iaitu dari segi kekangan dana. Namun, ianya saya anggap sebagai satu cabaran bagi meningkatkan keunggulan dan prestasi penyelidikan USIM. Di USIM majoriti penyelidiknya adalah dari kalangan pensyarah muda justeru saya mengambil pendekatan memperkasakan peranan profesor sebagai mentor yang boleh dirujuk. Selain aktiviti mempromosikan penyelidikan dan inovasi USIM kepada masyarakat luar perlu dipergiatkan.
Q4 Apakah harapan Prof dalam bidang penyelidikan di USIM ini?
Menjadi harapan saya agar USIM menjadi sebuah universiti yang berupaya dan berdaya saing dari sudut kemampuan dalam menghasilkan penyelidikan yang mampu memberi impak dan manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Tidak lain, saya juga berhasrat memacu nama USIM yang menerajui penyelidikan di dalam bidang-bidang yang sinonim dengan matlamat penubuhannya.