Selaras dengan permohonan kemasukan ke IPTA yang ditawarkan kepada pelajar lepasan SPM/STPM/Diploma/Matrikulasi dan Setaraf, USIM telah melancarkan kempen #inikanmasadepankita untuk menarik minat bakal pelajar di luar sana untuk memohon ke USIM dan seterusnya menjadikan USIM sebagai pilihan pertama dalam permohonan di UPUOnline. Oleh itu, temubual kali ini ditulis bersempena khusus mengenai pelan dan aktiviti promosi yang dijalankan oleh Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP) untuk menarik minat pelajar memilih USIM.
Bersama Prof Madya Dr Zinur Rijal Abdul Razak, Pengarah PPKP untuk berkongsi maklumat aktiviti yang dijalankan di PPKP dan hasratnya untuk menyebar luaskan tawaran program menarik yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan apabila tamat pengajian nanti.
S1 Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP) kini telah dinaiktaraf sebagai sebuah Pusat pada 2 Januari 2020. Boleh Dr kongsikan fungsi dan peranan secara keseluruhan PPKP?
Secara umumnya Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP) bertanggungjawab untuk menguruskan promosi dan pengambilan pelajar bagi program akademik yang ditawarkan di USIM dalam semua peringkat pengajian kepada pelajar di dalam negara dan luar negara. Selain itu, PPKP juga menguruskan pendaftaran dan kemasukan pelajar sama ada peringkat tamhidi, pra siswazah dan juga pasca siswazah. Apabila PPKP sudah dinaiktaraf sebagai sebuah Pusat, ia secara tidak langsung telah memberikan satu cabaran baharu kepada PPKP untuk membantu USIM meningkatkan enrolmen pelajar terutama pelajar antarabangsa yang menjadi sasaran utama di PPKP.
Secara keseluruhannya, PPKP mempunyai unjuran pengambilan pelajar yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Ini disokong dengan kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang disediakan oleh USIM seperti makmal, bilik kuliah, pertambahan pensyarah dan lain-lain. Pada tahun ini, kenaikan yang signifikan dilihat untuk kemasukan pelajar di Program Tamhidi iaitu pertambahan sebanyak 400 tempat berbanding tahun lepas. Hal ini kerana pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju dengan penjajaran semula program Tamhidi yang ditawarkan khususnya dalam bidang Sains. Jadi, dengan pertambahan tempat ini, lebih ramai pelajar lepasan SPM yang layak boleh memohon ke USIM.
S2 Bagi proses pengambilan pelajar di USIM, boleh Dr ceritakan proses pengambilan pelajar di USIM?
Proses pengambilan di USIM terbahagi kepada tiga kategori iaitu kemasukan ke program Tamhidi bagi calon-calon lepasan SPM/Setaraf, kemasukan ke program Sarjana Muda bagi calon-calon lepasan STPM/Setaraf dan kemasukan ke program Pascasiswazah iaitu kemasukan ke program Sarjana dan Doktor Falsafah. USIM menerima kemasukan pelajar Warganegara dan Bukan Warganegara bagi setiap peringkat pengajian yang disebutkan di atas.
Untuk kemasukan ke program Tamhidi, kemasukan pelajar baharu dibuat sekali setahun yang lazimnya berlangsung pada bulan Jun. Permohonan kemasukan ke program Tamhidi adalah melalui UPUOnline.
Manakala, bagi kemasukan ke program Sarjana Muda pula lebih pelbagai iaitu majoritinya adalah melalui saluran UPUOnline dan selebihnya adalah melalui saluran lepasan Tamhidi yang merupakan feeder kepada program-program tertentu di USIM. USIM juga menawarkan kemasukan khas melalui Mod Kemasukan Isi Rumah Bawah 40% Terendah yang dikenali sebagai Bottom 40. Kemasukan melalui mod Bottom 40 ini adalah inisiatif kerajaan untuk memberi laluan lebih mudah kepada pelajar dari golongan yang kurang berkemampuan dari aspek sosioekonomi serta kurang mendapat peluang dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
Selain itu, USIM turut menyediakan laluan kedua bagi kemasukan ke USIM iaitu melalui pengambilan sendiri tanpa melalui KPT yang dibuat pada Semester II setiap sesi akademik yang dikenali sebagai Ambilan Februari. Bagi pelajar di peringkat pasca siswazah, terdapat dua ambilan juga pada setiap tahun bagi pelajar yang memohon untuk mod kerja kursus dan campuran, manakala bagi pelajar yang mengambil mod penyelidikan, permohonan adalah sepanjang tahun.
S3 PPKP sinonim dengan misi untuk mempromosikan program akademik di USIM, apakah pendekatan yang diperkenalkan oleh PPKP dalam usaha untuk mendekati masyarakat di luar sana?
Dalam era media baharu ini, sudah semestinya PPKP tidak ketinggalan untuk mempromosikan program akademik yang ditawarkan di USIM melalui pemasaran secara digital. Oleh itu, unit promosi di PPKP telah mencipta akaun media sosial seperti Instagram (@usimadmissions), Facebook (Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar), Twitter (@usimadmissions) dan saluran You Tube (USIM Admissions). Untuk bahan di media sosial, unit pemasaran akan sentiasa mengemaskini kandungan untuk memastikan semua pengikut akan mendapat maklumat yang terkini mengenai kemasukan dan tarikh-tarikh penting. Selain itu, untuk memastikan USIM dikenali dalam kalangan masyarakat luar, kami juga mengadakan promosi secara bersemuka atau konvensional. Seperti contohnya, penyertaan ke Karnival Pendidikan dan Kerjaya Kolej Matrikulasi dan Jom Masuk IPT yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Dengan mengikuti program sebegini, PPKP dapat memperluaskan lagi jaringan pemasaran dan untuk mempromosi program akademik yang ditawarkan. Selain itu, PPKP juga mengambil inisiatif untuk mengadakan pameran pendidikan di sekolah-sekolah semasa keputusan peperiksaan penting diumumkan seperti SPM, STPM dan STAM. Dengan kaedah ini juga, secara tidak langsung ianya dapat membantu memperkenalkan USIM dan juga dapat bersemuka dengan para pelajar untuk bertanyakan soalan.
Bagi promosi di peringkat antarabangsa, pelbagai inisiatif diperkenalkan seperti mengadakan lawatan ke kedutaan untuk memperkenalkan program kepada pelajar-pelajar, membeli iklan di media sosial dan juga menyertai ekspo pendidikan di luar negara.
Selain itu, kami juga memperkasakan jaringan hubungan dengan sekolah angkat dan kluster USIM. Dengan adanya hubungan bersama sekolah angkat ini menjadi platform kepada kami untuk memperkenalkan USIM dengan mengadakan aktiviti seperti program motivasi, pameran pendidikan, aktiviti sains dan sebagainya. Pendedahan awal sebegini kepada mereka akan mendorong minat mereka untuk menyambung pengajian di USIM ke peringkat yang lebih tinggi.
S4 Bagaimana pula PPKP melaksanakan aktiviti promosi untuk mempromosi program akademik di USIM. Adakah ianya turut melibatkan kerjasama PTj dan pensyarah dari fakulti yang lain?
Bagi menjawab soalan ini, kami memang memerlukan penglibatan dari beberapa PTj yang berkaitan dan juga penglibatan dari para pensyarah. Seperti contohnya, kami akan melantik beberapa pensyarah yang berkaitan untuk turun padang melakukan promosi di beberapa program seperti Program Karnival Kerjaya dan Pendidikan Kolej Matrikulasi, Jom Masuk IPT, Pameran Pendidikan di sekolah angkat dan kluster dan juga menjadi ahli dalam kumpulan pemikir untuk mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa. Selain itu, kami juga ada mengadakan sesi FB Live dengan menemuramah Dekan atau Ketua Program untuk program santai selama 30 minit bagi membincangkan program pengajian, syarat kemasukan, peluang pekerjaan dan sebagainya.
S5 Apa pula komen Dr mengenai terdapatnya program kegemaran untuk menggalakkan calon pelajar memilih USIM?
Di USIM kami mempromosikan semua program akademik yang ditawarkan, namun mungkin ada sesetengah pelajar yang mempunyai minat dan kecenderungan yang tersendiri untuk memilih sesuatu kos yang ditawarkan. Walau bagaimanapun PPKP akan sentiasa memberikan nasihat dan panduan kepada para pelajar untuk memilih kos yang sesuai dan mengikut kelayakan mereka. Selain itu, apabila kami menerima lawatan dari sekolah yang ingin melawat ke USIM, kami juga akan mengatur jadual lawatan ke fakulti yang mereka minati.
S6 Pada pandangan Dr, apakah cabaran utama kepada PPKP dalam menjalankan aktiviti promosi program akademik di USIM?
Seperti yang kita semua maklum bahawa syarat kemasukan ke USIM adalah unik di mana USIM mensyaratkan pelajar yang ingin menyambung pengajian ke USIM mestilah mempunyai kelulusan dalam Bahasa Arab di peringkat SPM oleh itu ‘pool’ kemasukan ke USIM akan lebih kecil berbanding Universiti Awam yang lain. Justeru, kita tidak boleh membuat perbandingan dengan pengambilan pelajar dari UA yang lain. Selain itu, yang lebih utama adalah bajet yang diperuntukkan untuk mengadakan promosi dengan lebih meluas. Oleh itu, PPKP perlu lebih berkarya atau berkreativiti untuk mengadakan promosi di dalam dan luar negara.
S7 Apakah harapan Dr untuk pengambilan pelajar pada tahun ini dan tahun seterusnya?
Apa yang saya harapkan agar dapat berlakunya peningkatan dalam jumlah pengambilan pelajar mengikut unjuran yang kita tetapkan. Bagi pelajar siswazah, saya harapkan lebih ramai lagi pelajar antarabangsa yang akan datang ke USIM hasil kerjasama, jaringan, MoU, MoA kita dengan negara luar. Namun, dengan isu global yang kita hadapi sekarang ini iaitu pandemik Covid-19, yang mana menyeru kita untuk membiasakan dengan normal baharu, maka promosi untuk program akademik boleh diteruskan melalui media sosial. Setakat ini, unit pemasaran juga sudah merangka beberapa strategi untuk membuat promosi melalui platform media sosial dan juga bekerjasama dengan rakan agen kemasukan yang akan membantu PPKP secara tidak langsung untuk menarik lebih ramai bakal pelajar.