BANTING – Seramai 40 orang pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), diiringi penasihat program iaitu Prof. Madya Dr Sakinah Ali Pitchay sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni bergerak aktif bagi menjayakan aktiviti kesukarelawanan Fast Volunteer 3.0: Save Our Beach di Pantai Morib, Banting, Selangor pada 11 Mei 2024 baru-baru ini.

Program anjuran Sekretariat pelajar FST ini dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan pembahagian kepada lima kumpulan untuk aktiviti utama iaitu gotong-royong membersihkan sekitar persisiran pantai. Kehadiran penduduk setempat yang turut serta dalam aktiviti ini menunjukkan semangat komuniti yang kuat dan kerjasama yang erat dalam menjaga kebersihan alam sekitar.

Pengarah program, Muhammad Hilmi Bin Ishak berkata, aktiviti-aktiviti seperti ini diharapkan dapat memupuk semangat kesukarelawan  dengan membina nilai insaniah serta mewujudkan sikap prihatin terhadap alam sekitar melalui aktiviti Fast Volunteer 3.0 : Save Our Beach , bertepatan dengan modul Graduan Integrasi Ilmu Aqli dan Naqli (GIINA).

“Selain aktiviti pembersihan, program ini turut menampilkan pertandingan inovasi bertemakan teknologi alam sekitar di mana bahan yang digunakan adalah daripada sampah yang dikutip di pantai tersebut. Ia bukan sahaja menjadi medium untuk mahasiswa menunjukkan kreativiti dan pengetahuan mereka dalam sains dan teknologi, namun berjaya mencungkil bakat dan idea-idea segar hasil serta memberi peluang untuk mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari ke dalam situasi sebenar. Penganjuran pertandingan ini juga mendapat sokongan dan sumbangan daripada Firma Guaman WMHaidi & Associates”.

Ujarnya lagi, diharapkan program Fast Volunteer 3.0: Save Our Beach ini mampu memberikan pendedahan terhadap pelajar dan juga masyarakat setempat  mengenai kepentingan memelihara alam sekitar, selain membentuk jati diri pelajar dalam memahami dan menghargai elemen khidmat masyarakat serta semangat kesukarelawanan. Dengan usaha berterusan, kami berharap lebih banyak program seperti ini dapat dianjurkan oleh pelbagai pihak untuk memelihara kelestarian pantai seiring untuk menggalakkan lagi pelancong luar datang ke Malaysia dan seterusnya dapat meningkatkan lagi perkembangan ekonomi negara.

 

Sumber:
Wan Ahmad Izzul Hilman Wan Mohd Haidi
Exco Sekretariat Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi