PAHANG, 22 Julai 2023 – Program CEO@Faculty (CFP) adalah merupakan salah satu inisiatif yang dijalankan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama serta meningkatkan kolaborasi antara industri dan akademia melalui perkongsian ilmu dan kepakaran yang boleh dimanfaatkan secara bersama.

Melalui penglibatan tiga orang staf Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terpilih sebagai felo program CFP ini, iaitu Pn. Sharifah Nur Hafizah Tuan Sembak dari Jabatan Bendahari yang ditempatkan di Tabung Haji, Dr. Zatul-‘Iffah Abu Hasan, Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) yang ditempatkan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Dr. Mohd Hairulhisyam Ngatiman, Pensyarah FPSK (Tabung Haji), telah terlibat dalam menjayakan satu projek yang dinamakan ‘Wake Up Tioman!’ iaitu sebuah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara berkumpulan.

Projek CSR berkumpulan ini merupakan salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi program CFP yang diadakan di Kg Tekek, Pulau Tioman pada 20 – 22 Julai 2023. Program Wake Up Tioman! bertujuan menyumbang kepakaran dan teknologi yang terdapat di Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk dimanfaatkan bersama masyarakat bagi menangani kesan perubahan iklim di Pulau Tioman melalui inovasi sosial.

 

Di bawah program ini, terdapat tiga projek yang dijalankan iaitu pembinaan tapak terumbu karang daripada botol kaca terbuang (Coral Restoration), pendidikan Sustainable Development Goals (SDG) kepada pelajar sekolah (Climate Change Warrior) dan pemindahan teknologi pembuatan baja kompos daripada sisa makanan (Waste Management). Ketiga-tiga projek ini memberi fokus kepada penerapan beberapa elemen inovasi sosial dengan minda keusahawanan iaitu meningkatkan daya saing penduduk tempatan dengan mewujudkan ekosistem terumbu karang yang lebih sihat yang berfungsi sebagai tempat pembiakan spesis marin, meningkatkan kesedaran warga sekolah terhadap konsep SDG melalui penubuhan kumpulan Climate Change Warrior serta mewujudkan sistem pengurusan sisa berteknologi mesra alam bersama masyarakat setempat.

Menurut peserta CEO@Faculty dari USIM, Sharifah Nur Hafizah, “Program CSR ini amat mencabar dari peringkat permulaan kerana felo daripada beberapa universiti tidak pernah bersemuka dan mesyuarat hanya dilakukan secara atas talian berikutan kekangan masa dan lokasi para peserta. Tetapi dengan kerjasama yang baik, program boleh dilaksanakan dengan baik dan projek-projek yang dijalankan mendapat sambutan daripada komuniti Kampung Tekek.” Ujarnya lagi.

Projek yang mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Tinggi ini juga ditaja oleh Yayasan TM dan Malaysia Rail Link (MRL) serta mendapat kerjasama penuh daripada Yayasan Universiti Multimedia, Reef Check Malaysia, Lembaga Pembangunan Tioman, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah Rompin, Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek Tioman, Sekolah Kebangsaan Tekek Tioman, dan Pertubuhan Peladang Tioman.

Seramai 33 orang pensyarah dan pentadbir universiti telah menyertai program CSR ini antaranya dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

 

sumber: Puan Sharifah Nur Hafizah Tuan Sembak, Peserta CeO@Faculty

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan