SEREMBAN, 21 NOV 2015 – Dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan Pertubuhan Kebajikan Islam dan Khairat Kematian (PKIKK) Taman Bukti, Seremban bekerjasama dalam menganjurkan Program Khatan Perdana dan Pemeriksaan Kesihatan yang diadakan di Surau Taman Bukti, Ampangan Seremban.
Menurut Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa ) program ini bertujuan membantu anak-anak penduduk yang kurang berkemampuan selain meningkatkan kesedaran penduduk tempatan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.
“Seramai 39 kanak-kanak berumur antara lima hingga sebelas tahun mengambil peluang untuk bersunat secara beramai-ramai dengan kepakaran dari enam pakar bedah yang disediakan dengan hanya bayaran sebanyak RM70 seorang berbanding RM180 kos sebenar di klinik swasta”.
“Doktor pakar dari FPSK USIM bertekad memberikan komitmen tinggi dalam aktiviti kemasyarakatan selari dengan objektif program iaitu penglibatan masyarakat atau community engagement”, tambah Prof. Zulkiple.
Selain itu, turut diadakan pemeriksaan gigi, pameran kesihatan, pameran kerjaya, ceramah motivasi dan ceramah Rukhsah Ibadah bagi melengkapkan pengetahuan masyarakat agar cakna tentang tahap kesihatan pendudukan sekitar.
Program dirasmikan oleh Adun Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza. Turut hadir sama Prof. Dr. Mohd Taufik Md Nor dan Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani Timbalan Dekan FPSK.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204