NILAI – He & She Coffee, jenama Kopi Premium Bumiputera melebarkan pasarannya dan kini di buka di Jabatan Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kafe ini telah dilancarkan secara rasminya pada 8 Mei 2024 baru-baru ini oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Encik Zulkiflee Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas He & She Sdn. Bhd.

Sesuai dengan slogan “Preciuos moment in a cup”, kafe ini mempunyai kemahiran dalam menyediakan minuman berasaskan biji kopi premium. Ini merupakan outlet yang ke-42 di Malaysia dan selari dengan idea pembudayaan Iqra @ USIM Library yang dicetuskan oleh pengasasnya sendiri.

Encik Zulkiflee Yusof Ketua Pegawai Eksekutif He & She Coffee dalam ucapannya berkata “Sejajar dengan matlamat dan tujuan kafe ini ditubuhkan adalah untuk membantu mahasiswa mendalami ilmu pengetahuan dan keusahawanan di samping memberi peluang pekerjaan dan peluang menjana pendapatan”.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada pihak He & She dan berharap agar peluang kerjasama di antara keduanya dapat diperluaskan dalam pelbagai aspek terutamanya dalam konteks perkongsian ruang kafe bagi membudayakan aktiviti perkongsian ilmu dan program-program lain di USIM.

“Saya amat menghargai konsep Learn and Earn yang diperkenalkan oleh pihak He & She dalam membantu 10 orang pelajar USIM yang diterima bekerja secara sambilan sebagai barista untuk mempelajari ilmu dan kemahiran keusahawanan serta meraih peluang penjanaan pendapatan”, ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Nurul Izzati Batrisyia Mohamad Azizan,22, mahasiswa Tahun 3 Program Fiqh dan Fatwa Fakulti Syariah dan Undang-undang yang bekerja sebagai barista sambilan  berkata, beliau amat meminati dalam bidang kopi dan kafe ini baginya ibarat seperti “sambil menyelam minum air” kerana beliau seronok untuk belajar selok belok perniagaan dan Kemahiran komunikasi selain bercita-cita untuk mengusahakan perniagaan satu hari nanti.

Anak kelahiran Kuching Sarawak ini tidak kekok mencari pendapatan sampingan bagi menyara kehidupannya di kampus kerana sejak usia 15 tahun lagi beliau memulakan kerja sampingan di pasar malam untuk mendapatkan duit poket sendiri disamping membantu keluarganya.

Ujar izzati lagi, kita tidak harus malu untuk belajar sambil bekerja tetapi perlu memasang niat pelajaran adalah yang paling utama dan sentiasa mengingatkan diri bahawa duit bukan segalanya.

Pembukaan kafe ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Sains Islam Malaysia. Kemudahan rujukan maklumat ilmiah berkaitan pembelajaran dan penyelidikan menjadi lebih bermakna apabila dapat beriadah di kafe ini sambil mentelaah Pelajaran. Diharapkan dengan kewujudan kafe ini menjadi satu daya penarik dan nilai tambah kepada USIM dalam memenuhi permintaan serta keperluan sumber maklumat kepada masyarakat setempat.

Dalam majlis yang sama, He & She Sdn. Bhd turut menyumbang sebanyak 500 keping Baucar Rahmah kepada warga USIM bernilai RM5.00 dengan nilai keseluruhan RM2500.00.  Majlis turut menyampaikan replika kunci kepada Muhammad Faiq Mohamad Amir pengusaha kafe cawangan USIM.

Turut hadir bersama dalam majlis ini ialah Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, serta Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Dan Inovasi.

 

sumber: Dr.  Mohamad Salbihan Salman