SEPANG, 27 Jan 2014 –  Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM) Universiti Sains Islam Malaysia dengan kerjasama United States Agency for International Development (USAID) menganjurkan program Latihan Halal Meat Production and Marketing bagi berkongsi kepakaran dan kemahiran dalam bidang penyelenggaraan dan pemasaran daging halal.

Program ini melibatkan lapan  peserta dari negara Pakistan yang terdiri daripada pemilik perusahaan daging, telah diadakan di Hotel Sama Sama KLIA sepang pada 27 sehingga 31 Januari 2014.

USAID merupakan Institusi kerajaan Amerika Syarikat yang menawarkan bantuan dari segi kewangan dan juga perundingan dalam membangunkan negara dunia ketiga dan juga negara Timur Tengah.

Mubashra Mukadas, wakil pemerhati USAID berkata, USIM dipilih berdasarkan kepakaran yang ada di universiti ini. “USIM adalah institusi latihan pertama yang dipilih dari Malaysia. Melalui proses bidaan oleh USAID dan World Learning Pakistan, IHRAM USIM telah dipilih berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam industri produk halal untuk memberi latihan bagi tujuan membina kemahiran teknikal dan pengetahuan dalam pasaran produk halal”, tambah Mubashra.

Menurut Mubashra, Pakistan merupakan pengeluar ke-19 terbesar daging di dunia yang mencakupi kira-kira $ 115,000,000, terdiri daripada 60 juta ekor lembu, 55 juta kambing dan biri-biri, dan 30 juta kerbau yang dieksport ke Timur Tengah dan Asia Tengah.

Namun, produk daging dari Pakistan masih tidak mematuhi syarat seperti yang digariskan oleh Badan Pensijilan Halal iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut Pengarah Program, Dr. Mohd Nazmi Bin Abd Manap selaku Timbalan Pengarah IHRAM, program latihan ini bertujuan memberi pendedahan dari segi pemahaman dan pengetahuan secara teknikal dan praktikal selain pendedahan tentang pasaran industri halal di Malaysia.

“Latihan ini juga melibatkan gabungan kepakaran dari industri, JAKIM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsan Malaysia  (UKM), Makmal Veterinar dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar”, tambah beliau lagi.

Syed Hasan Raza, setiausaha persatuan pengeksport daging dari Lahore berkata  tujuan mereka menghadiri program ini adalah bagi memahami dan mempelajari tentang keperluan halal yang dititikberatkan oleh negara Islam seperti Malaysia. sekaligus mendapat pengiktirafan sijil halal dari Malaysia.

“Syarikat pengeksport daging di Pakistan telah di pantau dan mendapat pengiktirafan sijil halal dari Badan Halal Darul Islamia Mansoora, namun setiap negara berbeza syarat dan keperluan yang perlu dipatuhi”. Kami sedia maklum negara bukan Islam seperti United State telah mula untuk mendapatkan pengiktirafan sijil halal bagi membolehkan memasuki pasaran ke negara Islam, dengan itu masanya sudah tiba bagi kami mendapatkan pengiktirafan tersebut memandangkan Pakistan adalah negara Islam”, tambah beliau lagi.

Selain diberi pemahaman tentang teknik penyembelihan secara halal, peserta turut di bawa melawat ke beberapa tempat penyembelihan di kawasan  Sepang dan Shah Alam. Mereka turut di beri pendedahan berkaitan industri perniagaan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia  (MATRADE) yang disampaikan oleh Pengarah MATRADE Datuk Dr Md Noor Ali.Dr. Mohd Nazmi berkata, program ini turut menjemput wakil dari JAKIM bagi memberi taklimat mengenai prosedur pensijilan Halal di Malaysia dan menerangkan tentang pengiktirafan Badan Perakuan Antarabangsa dan audit untuk pasaran dari luar Malaysia.

Para peserta turut diraikan di Majlis Makan Malam yang dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Mustafa Mohd Hanifah dan Pengarah IHRAM Dr. Alina Abd Rahim.

Disediakan oleh :

Noorumaina Mohamed Yunus
Penolong Pegawai Media