Suriani Mohtadza
Suriani MohtadzaPelajar, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Masyarakat Melanau merupakan masyarakat etnik yang terdapat di Sarawak. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Melanau bermaksud suku kaum peribumi yang tinggal di persisiran pantai, muara dan anak Sungai Rejang, terutamanya di daerah Matu dan Daro, Dalat, Mukah, Bintulu dan Miri. Umumnya masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu baik dari segi kepercayaan, kebudayaan dan adat resam. Justeru itu masyarakat ini merupakan satu cabang dalam masyarakat Melayu. Namun begitu masyarakat Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam mereka yang tersendiri. Adat resam ini jelas terlihat dalam aspek kehidupan mereka seperti kelahiran, perkahwinan dan juga kematian. Adat resam atau amalan ini diwarisi sejak zaman berzaman dan masih diteruskan hingga ke hari ini.

Bagi masyarakat Melanau, pantang larang adalah larangan atau tegahan terhadap sesuatu perbuatan atau percakapan dengan tujuan untuk mengelakkan diri daripada berlakunya sesuatu perkara buruk yang tidak diingini terjadi. Terdapat pelbagai kategori pantang larang dalam kalangan masyarakat Melanau bermula dari kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian. Walau bagaimanapun, fokus penulisan ini adalah pantang larang kaum Melanau dalam penyediaan makanan. Pantang larang makanan merupakan satu aspek budaya yang mempunyai nilai-nilai kesihatan. Pantang larang ini diwarisi dan masih diikuti oleh masyarakat Melanau sehingga ke hari ini. Oleh itu, pantang larang ini berperanan penting dalam kehidupan seharian masyarakat Melanau. Penulisan ini bertujuan untuk mengenengahkan mengenai adat, etika dan pantang larang dalam penyediaan makanan bagi masyarakat Melanau di Sarawak.

Dalam penyediaan makanan tradisional masyarakat Melanau di Sarawak mempunyai aspek penting bagi mengekalkan rasa, kualiti dan cara penyediaan. Bagi masyarakat Melanau Sarawak, dalam meraikan tetamu aspek pemakanan perlu dijaga, supaya tetamu gembira menikmati makanan tersebut. Terdapat tiga aspek utama dalam penyediaan makanan iaitu bahan-bahan, cara pembuatan dan pantang larang.

Pertama, melihat kepada bahan-bahan yang digunakan dalam penyediaan makanan tradisional. Kebanyakan bahan yang digunakan berasaskan sagu. Sagu ialah makanan utama tradisional orang Melanau di Sarawak pada masa dahulu. Sagu merupakan pengganti kepada nasi untuk sesuatu hidangan bagi mereka. Tunas sagu dimasak sebagai hidangan tradisional di Sarawak. Terdapat beberapa jenis sagu seperti sagu Mukah, sagu Medong dan sagu Tupek. Antara bahan-bahan yang digunakan untuk membuat sagu ialah lemantak (tepung sagu), santan, kelapa kering yang halus, garam dan serbuk padi.

Pucuk dihiris atau dipotong dan sering dibakar dengan santan dan ikan bilis kering dengan rempah. Selain itu, linut atau bubur sagu dibuat dengan menuangkan air panas yang mendidih ke dalam mangkuk kanji sagu. Linut biasanya akan dihidangkan bersama dengan sambal belacan dan hidangan sampingan yang lain. Teksturnya sangat melekit dan kebanyakannya dimakan dengan garpu kayu. Seterusnya, tebaloi iaitu keropok manis Sarawak yang dibuat daripada kanji sagu, telur, kelapa dan gula. Kemudian, diratakan hingga nipis dan dipanggang sehingga garing. Manakala hidangan sagu yang lain di Sarawak ialah tetubei. Ia adalah makanan tradisional Melanau yang dibuat bentuk kanji sagu.

Seterusnya, cara pembuatan makanan tradisional ini ialah bergantung kepada bahan yang digunakan. Pembuatan makanan tradisional ini perlu teliti, jika tidak mengikut turutan kemungkinan makanan tersebut tidak dapat dihasilkan dengan sempurna. Seperti kuih penyaram yang merupakan kuih tradisional masyarakat Melanau Likow yang diperbuat daripada campuran tepung beras, tepung gandum, air dan gula apong (gula nipah). Gula apong dihasilkan menggunakan air nira (manisan) daripada pokok nipah. Air nira yang berwarna coklat cair dimasak hingga menjadi pekat dan bertukar kepada warna coklat gelap. Pokok nipah merupakan tumbuhan liar yang hidup subur di sepanjang sungai di Sarawak.

Pembuatan penyaram tidak rumit tetapi memerlukan kesabaran yang tinggi. Hal ini demikian kerana campuran bahan-bahan untuk menghasilkan penyaram perlu diperam dalam tempoh enam hingga lapan jam atau semalaman sebelum dimasak. Bancuhan yang telah melalui proses pemerapan hendaklah digoreng dalam kuali khas yang bersifat berat, berbentuk runcing dan dalam. Penyaram hendaklah disediakan oleh kaum wanita yang berpengalaman bagi memastikan bentuknya menepati kriteria yang diinginkan iaitu menyerupai topi manakala lingkaran berbentuk tali di sekelilingnya. Penyaram merupakan juadah terpenting dalam pelaksanaan Serarang. Penyaram adalah juadah kesukaan Ipok dan menjadi juadah yang tidak boleh ditinggal dalam pelaksanaan Serarang.

Penyaram mempunyai rasa manis yang asli hasil daripada gula apong. Rasa manis yang terdapat pada penyaram melambangkan kasih sayang. Masyarakat Melanau Likow percaya bahawa penyaram mampu merapatkan hubungan kekeluargaan yang terpisah jauh. Hal ini kerana ritual Serarang menghimpunkan seluruh ahli keluarga dan rakan taulan yang berjauhan, balik ke kampung dan meraikan pesta Kaul. Lingkaran seperti tali yang dibentuk di sekeliling penyaram pula merujuk kepada ikatan kasih sayang dalam masyarakat Melanau Likow yang tidak pernah terputus.

Oleh itu, terdapat pelbagai adat, etika dan pantang larang masyarakat Melanau dalam penyediaan makanan. Malah, masyarakat Melanau masih mengamalkan adat dan tradisi yang diwarisi sejak zaman berzaman. Hal ini dapat mengekalkan rasa dan kualiti sesuatu makanan yang dihasilkan. Hal ini juga bertujuan mengelakkan diri daripada berlaku sesuatu yang buruk atau kejadian yang tidak diingini.

Makanan tradisional masyarakat Sarawak antara salah satu khazanah yang perlu dikekalkan. Makanan tradisional ini merupakan salah satu aspek penting dalam proses pembudayaan yang sentiasa dilalui kehidupan sesebuah masyarakat. Perubahan zaman di masa kini tidak perlu menjadikan adat dan budaya sebagai peraturan hidup bagi setiap masyarakat. Adat dan budaya seharusnya dipertahankan hingga terus diwarisi oleh zaman-berzaman supaya masyarakat akan datang dapat mengenali setiap budaya yang terdapat di negara kita.