Tanggal 17 Ramadan, umat Islam diserata dunia menyambut satu peristiwa besar dan penting dalam sejarah kewujudan agama Islam itu sendiri iaitu peristiwa turunnya kitab suci Al-Quran. Peristiwa berkenaan yang juga lebih dikenali oleh umat Islam sebagai “Nuzul Al-Quran” merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW yang diturunkan secara berperingkat-peringkat sehingga ianya menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran seperti yang kita kenali pada masa kini. Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira berhampiran dengan kota suci Mekah.
Bagi umat Islam yang benar-benar menghayati kitab suci terbabit, Al-Quran Kalamullah bukan sekadar pusaka peninggalan Rasulullah SAW semata-mata. Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW yang diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun ini, diamanahkan supaya umat manusia dapat mempelajarinya, menghayati seterusnya mengamalkan segala yang terkandung di dalamnya.
Allah berfirman di dalam Al-Quran melalui Surah Yunus: 57 yang bermaksud “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit yang ada dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”. Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita semua bahawa terdapat pelbagai bentuk panduan dan bimbingan penting yang dibawa melalui kitab suci Al-Quran khusus kepada kepada umat Islam dan seluruh umat manusia keseluruhannya. Melalui Al-Quran, kita dapat mempelajari sejarah silam kehidupan manusia di masa lampau dan ianya menjadi panduan dan bimbingan kepada kehidupan kita semua pada masa kini. Al-Qur’an juga mendedahkan kita semua mengenai semua aspek kehidupan seperti hubungan kekeluargaan, hubungan dalam masyarakat, sains, politik, agama, undang-undang, politik, pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta, perubatan, tatatertib (akhlak) dan lain- lain.
Dengan terdapatnya pelbagai aspek atau perkara yang dibawa melalui kitab Al-Quran ini, ia sekaligus menjadikan Al-Quran sebagai sebuah kitab yang unik serta membawa pelbagai jenis manfaat bukan sahaja terhadap umat Islam malah kepada semua umat manusia diserata dunia. Adalah penting untuk diketahui, segala bentuk panduan, bimbingan dan manfaat yang dibawa melalui Al-Quran ini hanya dapat diperolehi dan dihayati sekiranya kita dapat memahami segala isi kandungan yang dibawa di dalam kitab suci Al-Quran serta mengamalkan segala perkara yang telah dinyatakan di dalam kitab suci terbabit dalam kehidupan seharian kita.
Al-Quran adalah mukjizat terbesar yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW serta rahmat yang besar kepada umat Islam secara khususnya serta umat manusia secara keseluruhannya. Sehingga kini Al-Quran telah menjadi sumber rujukan utama oleh umat Islam di serata dunia dalam mendepani dan mengharungi kehidupan seharian mereka. Lebih membanggakan lagi, buat sekian lama juga Al-Quran juga telah menjadi rujukan bagi orang bukan Islam yang berasa takjub dengan kehebatan dan keunikan yang terdapat di dalam Kitab suci Al-Quran itu sendiri. Amat sukar untuk bayangkan kehidupan umat Islam serta umat manusia secara keseluruhan itu sendiri tanpa adanya Al-Quran. Oleh yang demikian, adalah penting bagi semua pihak menghargai kurniaan terbesar yang telah diberikan oleh Allah SWT ini dengan mempelajari, memahami dan mendalami kitab suci itu secara terperinci serta mengamalkannya dan bukan hanya sekadar untuk disimpan di tempat-tempat yang dikhaskan atau sekadar untuk dibaca dan dihafal pada sepanjang masa sahaja.
Untuk mempelajari, mendalami dan mengamalkan kitab suci Al-Quran adalah penting untuk kita faham mengenai segala maksud, makna atau intipati dan serta tafsiran yang ingin disampaikan melaluinya. Perkara ini adalah penting kerana Al-Quran itu sendiri telah diturunkan dalam bahasa Arab manakala umat Islam dan manusia secara keseluruhan itu sendiri adalah terdiri daripada pelbagai bangsa yang mempunyai dan menggunakan bahasa mereka sendiri selain daripada bahasa Arab. Tidak semua manusia dapat memahami bahasa Arab dengan fasih serta sempurna. Adalah mustahil untuk umat Islam atau pun mana-mana umat manusia yang tidak terdiri daripada bangsa Arab untuk memahami dengan sempurna segala maksud dan makna yang terdapat di dalam Al-Quran itu tanpa mempelajari bahasa Arab ataupun mendapatkan bantuan daripada mereka yang betul-betul pakar dalam bidang tafsiran dan ilmu Al-Quran.
Walaupun apa-apa kesukaran yang dialami, segala usaha untuk mempelajari, mendalami dan mengamalkan apa yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran haruslah dilakukan oleh semua umat Islam serta bagi mana-mana umat manusia yang ingin mendapatkan panduan, bimbingan serta manfaat daripadanya. Usaha harus diambil supaya kita dapat betul-betul menghayati dan menghargai segala yang disampaikan dalam Al-Quran supaya kita dapat menjadi manusia atau insan yang benar-benar berjaya di dunia dan di akhirat.