Mohd Zaini Othman
Mohd Zaini OthmanPenolong Pendaftar, Pusat Tamhidi

Semenjak konflik antara Palestin dan Israel kembali marak semula sejak 7 Oktober lalu, pihak berkuasa Gaza melaporkan lebih 17,000 penduduk telah terbunuh di Gaza. Wanita dan kanak-kanak merupakan jumlah korban terbesar dalam konflik kali ini iaitu kira-kira 70 peratus dari angka nyawa yang melayang akibat kekejaman rejim Zionis. Lebih 46,000 lagi cedera manakala yang masih selamat menjadi sebahagian dari 1.8 juta rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Penindasan dan kekejaman terbaharu yang berlaku di sana belum menampakkan akan menemui titik noktah dalam masa terdekat. Pada satu Ketika, dunia melihat ada sinar untuk gencatan senjata dikuatkuasakan melalui satu draf resolusi yang dicadangkan oleh Emeriah Arab Bersatu (UAE) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Antara kandungan draf resolusi berkenaan adalah yang menggesa semua pihak terlibat dalam konflik untuk mematuhi undang-undang antarabangsa, terutamanya perlindungan orang awam, menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera dilaksanakan dan menyeru Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres untuk melaporkan kepada Majlis Keselamatan mengenai pelaksanaan gencatan senjata.

Ditaja hampir 100 negara anggota, menerima sokongan 13 ahli Majlis Keselamatan PBB dengan United Kingdom (UK) berkecuali, tetapi akhirnya usaha ini musnah begitu sahaja apabila Amerika Syarikat (AS) tetap dengan hati keringnya, menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sejak awal konflik ini berlaku konsisten mengecam tindak tanduk rejim Israel yang disokong oleh AS melahirkan rasa kesal dan membantah tindakan terkini AS. Beliau turut kesal dengan sikap AS yang masih mempertahankan tindakan pembunuhan anak-anak kecil tanpa sekatan di Gaza.

“Tolonglah, kita mesti hentikan pembunuhan mereka yang tidak bersalah, orang awam, bayi dan wanita dan tidak terdapat sebab, tiada sebab langsung untuk mana-mana pihak menafikan perkara ini dan sebab itulah saya berasa sedih dengan keputusan melampau ini,” katanya. Malah Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Riyad al-Mansour turut menyelar Majlis Keselamatan PBB kerana kegagalannya meluluskan draf resolusi untuk gencatan senjata kemanusiaan di Gaza. Beliau menyifatkan kegagalan itu “amat dikesali” dan “malapetaka.”.

Pastinya rasa kecewa, marah dan sedih atas kegagalan gencara senjata kemanusian turut dirasai oleh Masyarakat antarabangsa yang bersolidariti dengan Palestin sejak konflik ini tercetus. Sesuatu yang menarik untuk kita amati dalam konflik Palestin-Israel kali ini ialah gelombang solidariti antarabangsa yang semakin meningkat dalam menyokong hak kebebasan rakyat Palestin. Fenomena ini melibatkan penyertaan pelbagai masyarakat seluruh dunia tidak kira peringkat umur. Ia adalah penyatuan suara dalam mengutuk pencabulan Zionis Israel terhadap hak asasi rakyat Palestin dan menuntut kebebasan negara itu.

a mendapat sokongan daripada pelbagai kumpulan masyarakat termasuk aktivis hak asasi manusia, pemimpin dunia, pempengaruh, selebriti, ahli akademik, kanak-anak dan ramai lagi. Ini secara tidak sengaja membentuk satu pakatan kuat yang menekan kepentingan keamanan dan keadilan untuk semua pihak terlibat. Tarikh 7 Oktober bukan garis masa baru konflik Palestin dan Israel ini bermula keran isu ini telah lama berlarutan bermula sejak tahun 1948 apabila pada tahun tersebut Israel mula bertapak di Palestin. Bermulanya pada tahun tersebut rakyat Palestin telah menerima ujian yang besar dan getir seperti kehilangan ahli keluarga dan tempat tinggal akibat tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin sehingga kini.

Tiada sela masa antara tempoh itu terma aman, damai, bertenang, berbaik atau seumpanya. Tetapi yang wujud hanyalah istilah perih, derita, penindasan dan kezaliman. Perjuangan rakyat Palestin tidak dapat dipisahkan dengan perjuangan hak asasi manusia yang dilanggar bertahun-tahun Zionis Israel dengan penuh semberono dan boleh dianggap tindakan umpama orang gila kerana tiada nilai kewarasan, kemanusian dan berbelas ihsan. Peperangan kali ini bukanlah kali pertama umat Islam di Palestin khususnya penduduk Gaza menempuhnya, tindakan tidak berperikemanusiaan oleh tentera Israel sebelum ini pun telah meragut nyawa, memusnahkan banyak infrastuktur dan mengakibatkan rakyat Palestin sukar untuk mendapatkan sumber air, bekalan eletrik, makanan dan perkhidmatan kesihatan. Ledakan roket dan bom menemani kehidupan mereka tidak kira siang atau malam. Tetapi semangat dan keberanian mereka dalam menentang musuh Allah tidak pernah sedikit pun berkurangan.

Atas keimanan yang sama kita berpegang, apa yang berlaku pada umat Islam di Palestin umpama cubit peha kanan, peha kiri juga turut terasa sakitnya. Memenuhi tuntutan persaudaraan antara orang Islam walau melalui sekecil-kecil cara seperti berdoa sekalipun boleh menjadi bukti tanggungjawab seorang Muslim terhadap Pencipta dan saudara seagama. Semoga titipan doa daripada seluruh umat Islam sedunia dapat memberikan kemenangan dan keselamatan kepada rakyat Palestin yang sedang berjuang meneruskan kehidupan di sana.