Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi AzmiTimbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Kepentingan Baitul Maqdis di sisi umat Islam adalah satu perkara yang tidak boleh dinafikan lagi. Ia merupakan salah satu masjid yang disebutkan dalam al-Quran dengan panggilan Masjidil Aqsa. Malah di sinilah lokasi di mana Rasulullah diangkat ke langit dalam acara gilang gemilang yang dikenali sebagai Israk Mikraj.

Selain itu Masjidil Aqsa juga merupakan kiblat pertama buat umat Islam. Pada permulaan fasa Madinah, Baginda Nabi masih lagi menunaikan solat dengan menghadap ke Masjidil Aqsa. Kedudukannya sebagai yang menjadi kiblat bagi umat Islam membayangkan peranannya sebagai titik kesatuan bagi umat Islam.

Dari aspek sejarah pula, Masjidil al-Aqsa merupakan masjid kedua dibina atas muka bumi malah Allah akan mengurniakan pahala yang berlipat kali ganda buat mereka yang solat di dalamnya. Perkara ini dijelaskan oleh Baginda Nabi sendiri dalam sebuah hadis yang sahih. Al-Imam al-Bukhari merekodkan dialog antara Saidina Abu Zar dengan Rasulullah. Abu Zar bertanya: Wahai Rasulullah, apakah masjid yang paling awal dibina di muka bumi? Rasulullah menjawab: Masjidil Haram. Kemudian Abu Zar bertanya lagi: Selepas itu masjid apa? Baginda menjawab: Masjidil Aqsa. (HR al-Bukhari). Malah dalam riwayat yang sama ini juga Baginda menjelaskan bahawa mereka yang menunaikan solat di dalam Masjidil Aqsa akan mendapat pahala yang berlipat kali ganda.

Bukan itu sahaja, Masjidil Aqsa juga merupakan binaan yang diusahakan oleh para Nabi yang lain. Perkara ini dijelaskan oleh Saidina Abdullah bin Abbas yang menyatakan: Sesungguhnya Masjidil Aqsa itu dibina oleh para Nabi, dan mereka mendiaminya. Tiada satu inci pun tanah di dalam masjid itu melainkan ia pernah dipijak oleh para Nabi atau mereka mendirikan solat di kawasan tersebut.

Bagi umat Islam, mereka yang mempertahankan Masjidil Aqsa adalah dianggap sebagai oleh yang mulia di sisi Allah. Ini kerana Rasulullah sendiri secara zahirnya pernah menyatakan sedemikian. Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda bahawa: “Sentiasa berada dalam kalangan umatku dari kalangan yang menyerlahkan diri mereka secara terbuka dan nyata, menegakkan kebenaran, menghadapi musuh dengan gagah perkasa, tidak boleh dimudaratkan (dihentikan) oleh orang-orang yang mengecewakan mereka, sehinggalah datangnya perintah Allah (memenangkan mereka) dalam keadaan mereka terus meneruskan perjuangannya”. Lalu para sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah dan di mana mereka berada?” Sabdanya: “Di Baitulmaqdis dan sekitar Baitulmaqdis”. (HR Ahmad)

Jadi jelas di sini, terpamernya kepentingan Baitul Maqdis di sisi umat Islam. Ia bukan sekadar berkaitan sejarah yang menghubungkan tautan para Nabi terdahulu dengan umat ini, malah perjuangan mempertahankan Baitul Maqdis merupakan satu kemuliaan, seperti yang disabdakan oleh Baginda Nabi SAW.