Tahniah diucapkan kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing–masing sempena minggu konvokesyen yang diadakan oleh kebanyakan institusi–institusi pengajian tinggi dalam negara kita termasuk para pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bakal bergraduan pada 21 hingga 23 November 2017.
Kejayaan para graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang yang diceburi mereka sudah pasti membawa seribu kegembiraan dan makna bukan sahaja terhadap diri graduan terbabit, malah terhadap keluarga mereka yang mempunyai harapan yang tinggi terhadap graduan terbabit bagi mengubah nasib diri mereka serta nasib keluarga mereka.
Tidak dapat dinafikan, pendidikan merupakan faktor penting untuk mengubah diri seseorang serta keluarga mereka bagi menempuh segala cabaran dunia masa kini. Tanpa pendidikan yang mencukupi serta sempurna agak sukar untuk mana–mana individu untuk mengubah nasib mereka yang sedia ada serta membawa diri serta keluarga mereka ke tahap yang lebih baik.
Bagi menempuh segala cabaran dunia masa kini, seseorang graduan itu perlu memiliki bukan sahaja tahap kejayaan akademik yang baik malah perlu juga mempunyai faktor penarik yang membolehkan mereka menempuhi dunia realiti diluar bilik kuliah kampus. Namun malangnya terdapat segelintir individu pelajar serta warga pendidik yang hanya memberi fokus terhadap kejayaan akademik semata–mata. Fokus yang diberikan oleh mereka hanya untuk memperolehi tahap Kecemerlangan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang tinggi atau mendapat jumlah A yang banyak tanpa mengambil kira faktor penentu yang lain yang juga sama penting.
Dalam era globalisasi pada masa kini, isu kualiti graduan terutamanya graduan tempatan masih menjadi isu kritikal terutama apabila menyentuh aspek kemampuan mereka memenuhi permintaan pasaran masa kini. Meskipun dari segi kelayakan akademik, keputusan graduan berada di tahap yang boleh dikatakan membanggakan, keadaan berbeza jika dinilai melalui kemahiran insaniah. Kemampuan mereka dalam aspek ini dilihat masih berada pada tahap yang lemah dan kebanyakkan daripada mereka masih belum mampu mencapai standard yang dikehendaki oleh pasaran pekerjaan meskipun penekanan terhadap keperluan ini sering menjadi keutamaan serta tajuk utama di dalam akhbar dan perbicaraan di kaca televisyen dan radio dalam negara kita.
Kebolehan seperti kemahiran menyelesaikan masalah dalam menghadapi sesuatu situasi atau menghasilkan sesuatu yang membawa kepada faedah umum, menerusi cetusan daya kreativiti dan inovasi atau kebolehan untuk berkomunikasi dengan baik dilihat masih belum mampu dikuasai sepenuhnya biar pun amat diperlukan pada masa kini oleh masyarakat sekeliling serta industri perkerjaan. Tanpa kemahiran insaniah ini, sejauh mana seseorang graduan itu dapat menempuh dunia luar yang serba mencabar pada hari ini. Perlu diingatkan bahawa keputusan akademik yang baik bukanlah satu– satunya faktor penentu dalam mencari pekerjaan serta memperolehi kejayaan dalam hidup. Faktor kemahiran insaniah seperti yang dinyatakan diatas juga menjadi faktor yang sama penting bagi kejayaan mana–mana individu pada masa kini.
Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan supaya semua pihak terutamanya warga pendidik yang berada di IPT memberi penekanan utama dan menitik beratkan kemahiran insaniah selain memberi tumpuan terhadap kejayaan akademik semata- mata selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang diperkenalkan hampir tiga puluh tahun yang lalu yang menyasarkan keberhasilan pendidikan yang mampu melahirkan modal insan yang seimbang dalam negara kita dari segi aspek jasmani, emosi, rohani serta intelektualnya (JERI).