Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad
Prof. Madya Dr. Khairul Anuar MohamadProfesor, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Israk dan Mikraj adalah antara mukjizat terbesar yang Allah SWT anugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Anugerah ini amat penting sehinggalah satu surah dalam al-Quran dinamakan dengan nama surah al-Isra. Kepentingan peristiwa ini kepada umat Nabi Muhammad SAW amat jelas dengan catatan kejadian tersebut dirakamkan dalam ayat yang pertama.

Firman Allah SWT: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Majid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Al-Isra:1)

Dr Yusuf Qaradhawi menyatakan bahawa Israk adalah perjalanan yang berlaku di bumi yang dianugerahkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW bermula dari Masjid Haram, Makkah sehingga ke Masjid al-Aqsa di waktu malam. Mikraj pula adalah perjalanan dari bumi ke langit. Diangkat Nabi SAW ke tempat yang tidak dapat manusia sampai kepadanya iaitu Sidrah al-Muntaha.

Penghayatan terhadap peristiwa Israk dan Mikraj ini akan lebih difahami jika melihat kepada kronologi kejadian yang berlaku sebelumnya. Nabi Muhammad SAW amat komited terhadap tanggungjawab yang diberikan oleh Allah SWT dalam menyampaikan risalah kepada umatnya. Baginda telah lakukan dengan terbaik namun musyrikin Makkah menolak dan menentang dakwah Nabi dengan pelbagai perbuatan. Hal yang sama berlaku di Taif.

Selepas mihnah dan cabaran yang dihadapi oleh Nabi SAW dari musyrikin Makkah, maka Allah SWT menganugerahkan satu perjalanan ketuhanan kepada Nabi SAW untuk memperlihatkan betapa luasnya kuasa Allah SWT. Dalam peristiwa tersebut, Allah SWT menganugerahkan satu kewajipan yang menghubungkan manusia dengan Allah iaitu kewajipan solat.

Perstiwa israk dan Mikraj ini mempunyai banyak ibrah yang boleh dijadikan pengajaran. Umat Islam seharusnya mengetahui kedudukan Masjid al-Aqsa yang menjadi destinasi terakhir perjalanan israk. Hubungan Masjid Aqsa amat kuat dengan Masjid Haram Makkah. Kedua-duanya mempunyai kesucian dan kelebihan dalam beribadat. Ia juga memberi satu kefahaman bahawa berlaku pemindahan kepimpinan dari bani Israel kepada umat Islam yang diasaskan dengan rahmat dan keadilan bukan dengan cara penindasan dan kekejaman.

Masjid al-Aqsa mempunyai keberkatan yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran. Firman Allah SWT: Dan Kami selamatkan dia (Nabi Ibrahim) dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri (Syam termasuk Palestin) yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia. (al-Anbiya:71). Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam. Umat Islam bersolat berkiblatkan kepada Masjid Aqsa selama tiga tahun di Makkah dan selama 16 bulan di Madinah.

Ibrah yang perlu difahami juga adalah berkaitan kepentingan solat. Kewajipannya berlaku pada malam israk dan mikraj. Disampaikan secara langsung kepada Nabi SAW tanpa perantaraan. Solat adalah satu kemulian dan pendirinya mendapat kedudukan yang tinggi. Manakala yang tidak menunaikan solat adalah satu kehinaan dan menerima azab pada hari akhirat.

Nabi SAW amat menjaga solat. Mengarahkan umatnya melakukan solat dalam apa jua keadaan sama ada semasa bermukim atau bermusafir, berada dalam keadaan aman atau dalam keadaan takut, semasa sihat atau sakit, semuanya hendaklah lakukan solat. Setiap kali berlaku perkara yang besar dalam hidupnya, Nabi SAW akan lakukan solat.

Kesimpulannya, perjalanan Israk dan mikraj penuh dengan pengajaran dan membuktikan kekuasaan Allah SWT. Ia juga memberi penghormatan yang tinggi kepada Nabi SAW dengan mengimamkan solat kepada seluruh para Nabi.

 

Gambar: Portal Mstar