Tatkala saudara kita berhadapan dengan ancaman dan kekejaman yang boleh meragut nyawa mereka, kita masih dikurniakan nikmat keselesaan menjalani kehidupan. Apakah kita pelajari dari ‘konflik’ yang tidak berkesudahan ini? Berdekad lama nya, saudara kita hidup serba kekurangan dan jarang sekali mereka dalam keadaan selesa. Ledakan roket dan bom menemani kehidupan mereka tidak kira siang atau malam. Tetapi semangat dan keberanian mereka dalam menentang musuh Allah tidak pernah sedikit pun berkurangan dan tetap terus mempertahankan bumi al-Quds dan Masjid al-Aqsa. Malah, saban hari kehidupan mereka mengingatkan kepada kematian yang boleh menjemput mereka pada bila-bila masa.
Isu Palestin-Israel ini melangkaui isi keagamaan kerana ia merupakan isu kemanusiaan sejagat yang mempersoalkan tentang hak asasi kemanusiaan. Dalam bulan Ramadan ini, saudara se-Islam kita terutamanya di Gaza diuji untuk kesekian kalinya dengan ujian yang berat. Rakyat Palestin yang menetap di Sheikhul Jarrah diusir dari kediaman mereka. Tidak cukup dengan itu, pihak penguasa Israel melakukan kekerasan apabila mereka menggunakan gas pemedih mata dan bom tangan untuk menghalau dan menyakiti para jemaah yang berada di dalam dan di perkarangan Masjid Al-Aqsa sehingga mencederakan ratusan rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak. Ini adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan keadaan rakyat Palestin yang diancam perlu dibela.
Ketika artikel ini ditulis, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 20 orang syuhada termasuk kanak-kanak telah menemui Ilahi serta tambahan 95 orang didapati cedera. Manakala menurut Nadir Al-Nuri, seorang warganegara Malaysia yang menetap di Gaza melalui akaun Telegram beliau turut melaporkan serangan masih lagi berlaku di Gaza dan Syeikhul Jarrah serta melibatkan kawasan lain di Palestin seperti Al-Lid dan Nablus.
Meskipun hak asasi manusia untuk Palestin ada diperjuangkan oleh pertubuhan tertentu seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), namun, organisasi gergasi yang kononnya memperjuangkan hak asasi kemanusiaan dunia seperti Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, Rusia dan Amerika Syarikat dilihat diam membisu seolah-olah merestui rejim Zionis meneruskan kekejaman dan jenayah perang tersebut terhadap saudara kita di Palestin. Sebahagian besar media barat pula terus memutarbelitkan perkara ini dengan memanipulasi dan ada juga yang menyembunyikan maklumat sebenar ketika melaporkan isu perjuangan rakyat Palestin. Kesannya, berulang kali kita menyaksikan hak rakyat Palestin terus diperlekehkan.
Tetapi kebenaran sudah pasti tidak akan dapat terus disekat. Benarlah seperti apa yang termaktub di dalam Surah Fusilat, Ayat 6, yang mana ia menegaskan tentang kepentingan untuk memperjuangkan kebenaran agar manusia tidak berada dalam kesesatan dan sentiasa berada di jalan yang lurus. Dalam isu ini, menegakkan kebenaran menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim kepada Muslim yang lain. Akan tetapi, menegakkan kebenaran bukanlah sesuatu perkara yang mudah seperti firman Allah dalam Surah Yusuf, ayat 87, di mana Allah menegaskan kepada kita untuk tidak berputus asa dari bantuan dan rahmat Nya kerana sifat itulah yang membezakan kita dengan kaum yang kafir. Ia menunjukkan kebenaran memerlukan kecekalan dan usaha yang berterusan.
Dalam konteks mendapatkan dan memperjuangkan kebenaran, kita dapat lihat sebilangan masyarakat sudah bijak menilai sumber yang mereka perolehi. Rakyat Palestin juga turut mengambil peluang memanfaatkan rangkaian media sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram dan YouTube untuk memaklumkan kepada dunia berkenaan situasi semasa dan keadaan terkini mereka di sana. Aktiviti dalam talian inilah antara peluang dan usaha bersama yang banyak membuka mata masyarakat tentang apakah sebenarnya yang berlaku di Palestin. Disebabkan aktiviti dalam rangkaian tersebut jugalah rakyat jelata yang berbeza agama dan latar belakang sosial dapat bersuara dan bersatu padu menyokong hak asasi serta melahirkan solidariti mereka kepada rakyat Palestin melangkaui hierarki organisasi yang diam membatu.
Justeru itu, kita perlu bertindak bersama untuk mematahkan naratif keganasan dan agresif yang telah sekian lama mencengkam Palestin dengan menyebarluaskan naratif positif. Usaha untuk menyebarkan mesej keamanan dan keselamatan juga perlu diteruskan sebagai tanda respon dan pendirian kita umat Islam terhadap isu keganasan yang dilakukan oleh rejim Zionis. Walaupun kita tidak dapat bersama dengan saudara kita di Palestin, gunakanlah senjata doa agar kemenangan akan diberikan kepada mereka suatu hari nanti mengikut ketetapan dan perancangan Allah.