Nurhajira Farhana Noor Hadi
Nurhajira Farhana Noor Hadi Pelajar, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Etnik merujuk kepada kumpulan manusia yang berkongsi sifat-sifat fizikal atau budaya tertentu yang membezakan mereka dari kumpulan lain. Terdapat beberapa aspek yang terdapat dalam etnik seperti keturunan, bahasa, adat istiadat, agama, dan nilai-nilai budaya yang diwarisi dari generasi ke generasi. Sementara itu, kaum pula merujuk kepada kumpulan sosial manusia yang berkongsi ciri-ciri yang sama atau hampir sama dalam konteks asal usul, budaya, agama, dan adat resam tertentu. Kaum juga sering dikaitkan dengan faktor geografi, sejarah, politik, dan kebudayaan yang bersama. Setiap etnik atau kaum mempunyai kepelbagaian dalam budaya, kepercayaan, dan cara hidup mereka. Oleh itu, penekanan terhadap kepelbagaian etnik dan kaum membantu masyarakat untuk menghargai dan memahami keunikan serta warisan setiap kumpulan serta mempromosikan kesepadanan sosial dan keharmonian antara kumpulan-kumpulan ini dalam sebuah masyarakat yang majmuk.

Sarawak merupakan sebuah negeri di Malaysia yang terletak di bahagian utara pulau Borneo. Sarawak juga mempunyai kepelbagaian budaya, alam semula jadi yang menakjubkan, dan warisan sejarah yang kaya. Negeri ini mempunyai lebih daripada 40 kumpulan etnik yang berbeza, menjadikannya tempat yang penuh dengan kepelbagaian etnik dan kebudayaannya. Kehidupan masyarakat di Sarawak juga menawarkan pandangan ke dalam warisan budaya yang kaya. Setiap etnik di Sarawak mempunyai tradisi, adat istiadat, dan kepercayaan yang unik. Dari rumah panjang tradisional Orang Iban hingga rumah tradisional Orang Bidayuh yang berbentuk lingkaran, struktur rumah tradisional ini menggambarkan kekayaan warisan budaya Sarawak. Sarawak adalah tempat yang memikat dengan kepelbagaian budaya, keindahan alam semula jadi, serta keramahan dan kehangatan penduduknya. Ia adalah destinasi yang menarik bagi pelancong yang ingin menggali keunikan dan kecantikan warisan Malaysia yang kaya.

Masyarakat Melayu di Sarawak merupakan salah satu dari pelbagai etnik yang menarik dan penting dalam kepelbagaian budaya negeri ini. Masyarakat Melayu Sarawak mempunyai kepelbagaian tradisi, budaya, dan amalan yang unik. Budaya mereka terpengaruh oleh faktor sejarah, geografi, dan interaksi dengan etnik-etnik lain di wilayah tersebut. Masyarakat Melayu di Sarawak juga mempunyai bahasa Melayu Sarawak yang berbeza daripada bahasa Melayu Semenanjung. Masyarakat Melayu Sarawak juga aktif dalam memelihara adat dan budaya mereka melalui perayaan tradisional seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, serta kenduri-kenduri perkahwinan yang memainkan peranan penting dalam menyatukan komuniti dan keluarga. Masyarakat Melayu di Sarawak juga masih menghargai nilai-nilai tradisi dan adat resam mereka walaupun munculnya pengaruh moden dan globalisasi. Akhir sekali, kehidupan mereka juga dipengaruhi oleh agama Islam sebagai satu elemen penting dalam identiti dan kehidupan masyarakat Melayu di Sarawak.

Masyarakat Orang Iban merupakan salah satu kumpulan etnik paling besar dan paling terkenal di Sarawak. Rumah panjang adalah lambang utama komuniti mereka, iaitu tempat di mana beberapa keluarga tinggal bersama dalam sebuah bangunan yang memanjang. Tradisi adat seperti Gawai Dayak, panen padi, adalah perayaan yang meriah dengan tarian, muzik tradisional, dan upacara adat. Orang Iban juga terkenal dengan kebolehan mereka dalam seni ukiran kayu, seni tenunan, dan pembuatan pakaian tradisional seperti pua kumbu, yang merupakan sehelai kain tenunan yang indah dengan corak-coral yang unik. Tambahan pula, kebanyakan masyarakat Iban pada hari ini menerima agama Kristian sebagai pegangan, tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan nilai adat resam dan ciri-ciri kebudayaan yang menjadi lambang tradisi masyarakat Iban. Akhir sekali, keunikan budaya Orang Iban membentuk satu aspek yang penting dalam landskap budaya Sarawak. Warisan tradisi, seni, dan adat istiadat mereka menyumbang kepada kepelbagaian budaya yang kaya di negeri ini, sambil mengekalkan nilai-nilai warisan yang penting bagi mereka sebagai sebuah komuniti.

Masyarakat Melanau pula merupakan suku kaum peribumi di Sarawak yang tinggal di persisiran pantai, muara dan anak Sungai Rejang, terutamanya di daerah Matu, Daro, Mukah, Dalat, Oya dan Igan. Terdapat juga populasi merkea di bandar-bandar lain seperti Sibu, Miri, Kuching dan Bintulu. Pada masa kini, hampir keseluruhan masyarakat melanau menganuti agama Islam dan segelintir menganut agama Kristian. Namun begitu, terdapat juga yang mempercayai tuhan laut iaitu “inah” atau dikenali sebagai “ipok”. Tambahan pula, kaum Melanau dahulunya mempunyai reka bentuk rumah yang unik iaitu rumah yang dibina setinggi tiga tingkat dan ruang tamu terletak di antara bilik rumah tersebut, pintu bilik berttentangan antara satu sama lain. Tujuan rumah ini dibina tinngi adalah untuk memudahkan mereka mempertahankan diri serta membalas serangan musuh. Akhir sekali, masyarakat Melanau juga dipandang unik kerana kaya dengan adat dan budaya tersendiri seperti adat perkahwinan, perayaan, agama dan kegiatan ekonomi.

Akhir kalam, kepelbagaian kaum di Sarawak membuka mata masyarakat untuk sentiasa bertoleransi antara satu sama lain. Kesedaran masyarakat terhadap wujudnya kepelbagaian kaum di Sarawak juga dapat melahirkan sikap tolak ansur dan saling menghormati untuk mewujudkan keharmonian hidup bermasyarakat yang sentiasa menghargai nilai-nilai budaya, etnik, dan tamadun setiap masyarakat yang wujud di malaysia. Hubungan baik dalam masyarakat berbilang kaum tidak boleh dijadikan taruhan oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda peribadi atau kelompok tersendiri. Oleh sebab itu, pihak tersebut perlu ada belas kasihan kepada rakyat yang inginkan keamanan dan kestabilan negara agar berpeluang untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan selamat dan terjamin. Oleh itu, setiap perbezaan kaum mahupun etnik yang ada di Malaysia perlulah diraikan perbezaannya kerana Malaysia merupakan satu negara yang mengamalkan sistem demokrasi untuk mewujudkan keseimbangan dan melahirkan negara yang aman sejahtera.