Keselamatan kampus merupakan elemen penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat untuk semua warga kampus. Namun, keselamatan kampus tidak hanya bergantung kepada jumlah pengawal keselamatan, pemeriksaan di pintu masuk utama, atau kekerapan rondaan. Keselamatan kampus juga melibatkan aspek mental dan spiritual.
Melihat dari perspektif yang lebih luas, keselamatan kampus merangkumi lebih daripada elemen fizikal. Pendekatan holistik yang mengintegrasikan ilmu naqli (agama) dan aqli (sains) boleh menjadi asas penting dalam mewujudkan kampus yang selamat, harmoni, dan kondusif.
Dalam era moden ini, integrasi ilmu naqli dan aqli semakin relevan untuk diaplikasikan dalam pelbagai pendekatan, tindakan, polisi, dan dasar demi kebaikan warga kampus. Pendekatan yang menggabungkan kedua-dua jenis ilmu ini memberikan impak yang lebih holistik, inklusif, dan komprehensif dalam memastikan keselamatan kampus lebih terjamin.
Ajaran agama Islam, sebagai contoh, menggariskan prinsip penting dalam menjaga nyawa, kehormatan, dan harta benda. Prinsip ini selari dengan kajian etika dan moral dalam sains sosial yang menekankan kepentingan persekitaran selamat dan sihat. Menggabungkan nilai agama dan pengetahuan saintifik dapat membentuk komuniti kampus yang bertanggungjawab dan berakhlak mulia melalui penguatkuasaan peraturan di kampus. Hukum syariah dalam Islam menekankan prinsip keadilan dan perlindungan. Apabila konsep ini digabungkan dengan undang-undang sivil dalam penggubalan polisi keselamatan kampus, ia menghasilkan polisi yang efektif dan komprehensif, didasari hikmah adil dan bukti kukuh.
Kesihatan mental dan fizikal adalah aspek penting dalam keselamatan kampus yang tidak boleh diabaikan. Ajaran agama sering menekankan kepentingan menjaga kesihatan tubuh dan minda sebagai bentuk ibadah. Pada masa yang sama, bidang psikologi dan perubatan moden menyediakan panduan dan kaedah saintifik untuk menjaga kesejahteraan mental dan fizikal. Program kesihatan kampus yang menggabungkan nilai agama dan panduan perubatan moden dapat membantu pelajar menjaga kesejahteraan mereka secara menyeluruh.
Pengelolaan risiko dan krisis memerlukan pendekatan bijaksana berteraskan ilmu. Nilai agama memberikan panduan dalam menghadapi krisis dengan sabar dan tawakal, serta saling membantu dalam komuniti. Pendekatan pengurusan risiko dan krisis yang berdasarkan analisis data dan prosedur saintifik penting untuk mencegah dan mengatasi kejadian berbahaya. Latihan kecemasan dan penilaian risiko yang kerap di kampus merupakan contoh bagaimana pendekatan saintifik dapat digabungkan dengan nilai agama untuk memastikan keselamatan warga kampus.
Pendidikan keselamatan adalah komponen utama dalam memastikan keselamatan kampus. Pendidikan agama mengajarkan tanggungjawab peribadi dan sosial dalam menjaga keselamatan diri dan orang lain. Ini boleh dilengkapi dengan pendidikan keselamatan yang berasaskan kajian dan amalan terbaik dalam pelbagai bidang seperti teknik, sains, dan kesihatan. Pendekatan pendidikan yang holistik ini membantu warga kampus memahami dan mengamalkan langkah keselamatan yang efektif dan berkesan.
Keselamatan kampus yang holistik bukan sahaja melindungi fizikal tetapi juga mental dan spiritual warga kampus. Dengan integrasi ilmu naqli dan aqli, keselamatan kampus dapat dijamin secara menyeluruh, mewujudkan persekitaran yang selamat, harmonis, dan bertanggungjawab.