Prof. Dr. Wan Abdul Fattah Wan Ismail
Prof. Dr. Wan Abdul Fattah Wan IsmailProfesor, Fakulti Syariah dan Undang-undang

Sejak akhir-akhir ini tabiat merokok di tempat awam amat membimbangkan. Lebih-lebih lagi di tempat-tempat dikelilingi oleh mereka yang berisiko seperti orang-orang tua, kanak-kanak dan seumpamanya. Keadaan ini seakan-akan sudah sukar dikawal. Perokok-perokok tanpa rasa bersalah melakukannya sekalipun tertera larangan merokok di depan mata mereka. Bagi mereka “aku beli rokok dengan duit aku dan bukannya dengan duit kamu”. Orang awam juga berhak memastikan kesihatan mereka terjamin dan tidak terkesan disebabkan kealpaan orang lain. Untuk mengatakan perokok tidak mendapat maklumat mengenai bahayanya merokok terhadap diri dan orang lain adalah alasan dangkal. Kerana pelbagai kempen bahaya rokok sudah dibuat oleh pelbagai agensi sejak sekian lama. Bahkan di kotak-kotak rokok juga terpapar gambar-gambar yang menggerunkan akibat dari tabiat merokok. Tabiat merokok di tempat awam sebenarnya menzahirkan sikap pentingkan diri sendiri dan cuba untuk mencabar pihak-pihak yang berautoriti sekalipun mereka mengetahui akibat dari perbuatan tersebut.

 

Dari segi hukum, semua sudah pun maklum mengenainya sama ada dari khutbah-khutbah Jumaat atau media massa. Namun perokok tegar tetap tidak mengendahkannya. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia: Keputusan Muzakarah kali ke-37 pada 23 Mac 1995 telah pun memutuskan tabiat merokok itu ‘haram’. Keputusan ini telah pun disokong dengan nas-nas Syarak dan penjelasan pakar-pakar kesihatan. Apa yang menyedihkan, ramai di kalangan perokok adalah daripada golongan cerdik pandai, berpendidikan tinggi, dan tidak ketinggalan dari kelompok ketua-ketua masyarakat serta pemimpin sendiri yang sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat.

 

Pihak kerajaan tidak boleh lagi menganggap cukai rokok merupakan sumber pendapat kerajaan. Mantan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam astro Awani bertarikh 27 Julai 2022 berkata: Pada tahun 2020 Kerajaan membelanjakan RM6.2 bilion bagi merawat pesakit merokok berbanding kutipan cukai produk tembakau RM3 bilion. Menurutnya lagi kos rawatan itu dijangka meningkat sehingga RM8.8 bilion menjelang tahun 2030. Beliau menambah lagi “Ramai tidak tahu kos yang ditanggung kerajaan ini adalah lebih tinggi daripada jumlah kutipan cukai produk tembakau”. Kenyataan ini menujukkan cukai rokok bukan lagi sumber pendapatan, sebaliknya ia menjadi liabiliti ‘beban’ kepada kerajaan.

 

Selain daripada 23 tempat yang pernah diwartakan sebagai tempat larangan merokok, dalam MyHEALTH satu ketika menyatakan: “Tepat jam 12.01 am pada 1 Januari 2020, bermula penguatkuasaan penuh larangan merokok di premis makanan”. Sekalipun agak terlewat, ia merupakan satu tindakan yang amat dialu-alukan, bagi menyelamatkan banyak nyawa yang tidak berdosa. Isu larangan merokok di tempat awam tidak sepatutnya dipolitikkan, bahkan ia menjadi agenda yang perlu diperjuangkan secara berterusan oleh mana-mana pihak yang memegang tapuk pemerintahan. Membangunkan tahap kesihatan rakyat merupakan antara dasar penting dan tanggungjawab pemerintah. Jangan jadikan penguatkuasaan larangan merokok di tempat-tempat awam hanya bermusim atau dilaksanakan mengikut ‘Mood’. Penguatkuasaan berterusan sepatutnya diteruskan dan diperjuangkan sepertimana ketegasan dalam kes-kes penyalahgunaan dadah, rasuah dan seumpamanya sekalipun berlaku pertukaran tampuk pemerintahan. Memang tidak dinafikan ketegasan sebegini akan mendapat bantahan oleh segelintir pihak, namun kemaslahatan umum dan kesejahteraan rakyat perlu diutamakan.

 

Tidak dinafikan bahawa pihak kementerian berkaitan telah pun memperkenalkan talian khas untuk membuat aduan jika terdapat pihak-pihak yang merokok di tempat-tempat larangan. Namun ia perlu juga di ikuti dengan penguatkuasaan tegas secara berterusan. Ini kerana tahap penguatkuasaan terhadap kesalahan merokok di tempat awam masih lagi di tahap yang agak lemah. Penguatkuasaan larangan ini tidak seharusnya dipikul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan penguat kuasa tempatan sahaja. Bahkan semua pihak perlu mengambil bahagian dalam hal ini, termasuklah semua agensi di bawah kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri dan lain-lain. Denda-denda yang dikenakan kepada pesalah merokok di tempat-tempat awam juga agak rendah dan perlu dibuat semakan semula. Kenaikan harga dan cukai rokok juga dilihat agak gagal untuk menghentikan atau mengurangkan tabiat merokok.

 

Untuk tindakan lanjut, kedai-kedai makan atau restoran sepatutnya dilarang dari menjual sebarang bentuk dan jenis rokok. Peniaga-peniaga juga perlu dikenakan hukuman lebih berat jika terlibat urusan jual beli rokok kepada pembeli-pembeli di bawah umur. Selain denda, hukuman alternatif juga perlu difikirkan agar ia dapat memberikan kesan lebih maksimum kepada perokok degil. Kerana kadar denda yang dikenakan kadangkala tidak memberi kesan. Hukuman alternatif yang lebih bersifat psikologi seperti membersihkan tempat-tempat awam, rumah-rumah kebajikan dan seumpamanya perlu diperkenalkan. Kera ia lebih memberi kesan tidak kiralah kepada golongan kayangan ataupun biasa. Sekalipun ia kelihatan agak keras, tapi itulah cara untuk mengawal dan menghentikan tabiat merokok di tempat-tempat larangan khususnya di kedai-kedai makan.