Dr. Norlelawati Ariffin
Dr. Norlelawati AriffinPensyarah, Fakulti Sains dan Teknologi

Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat popular dengan makanan jalanan ataupun lebih kenali sebagai “street food”. Rakyat Malaysia gemar membeli makanan jalanan kerana harganya yang lebih murah serta lokasi gerai yang strategik tanpa perlu memasuki premis makanan.

Antara makanan jalanan yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia adalah pasar malam atau pasar minggu. Ini kerana pasar ini sering dipenuhi dengan pelbagai juadah makanan yang menyelerakan serta menarik perhatian pembeli.

Namun, apa yang dibimbangkan adalah aspek kebersihan makanan jalanan. Ini kerana makanan jalanan amat terdedah dengan persekitaran yang kurang bersih seperti asap kenderaan atau bau perparitan yang kurang menyenangkan.

Adakalanya penyediaan makanan daripada penjual juga kurang memuaskan. Penjual menyediakan makanan dengan tangan yang tidak memakai sarung tangan dan penutup kepala, mencampuradukkan beberapa jenis bahan mentah, serta menggunakan peralatan memasak berulang kali tanpa membasuhnya terlebih dahulu.

Justeru, untuk memastikan penyediaan makanan adalah baik dan bersih, pengendali makanan perlu cakna terhadap garis panduan amalan pengendalian makanan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Biasanya, untuk menjalankan perniagaan makanan jalanan, mereka perlu mendapatkan lesen daripada Majlis Daerah dan juga memenuhi syarat KKM.

Ini termasuk mengambil suntikan tifoid, memastikan kuku sentiasa pendek, memakai penutup kepala, serta tidak memakai sebarang perhiasan seperti cincin, jam tangan atau rantai tangan. Penggunaan peralatan memasak berasaskan kayu juga tidak dibenarkan bagi mengendalikan makanan kerana sifat bahan ini yang menyerap lembapan sekaligus membenarkan pembiakan bakteria dengan mudah.

Adalah menjadi tanggungjawab seorang pengendali makanan untuk memenuhi syarat semasa memohon lesen makanan jalanan serta menambah ilmu pengetahuan berkenaan keselamatan makanan dan pengendalian makanan yang baik dari masa ke semasa. Maklumat terkini berkaitan dengan pengendalian makanan yang baik boleh diperolehi daripada laman sesawang KKM atau daripada menghadiri kursus pengendalian makanan yang dianjurkan oleh sekolah pengendalian makanan.

Pengetahuan berkenaan penghasilan makanan halal dan bersih atau Halal Toyyiban juga perlu bagi memastikan makanan yang disediakan kepada masyarakat adalah halal dan bersih seperti yang digariskan dalam Al-Quran. Sebagai pembeli makanan jalanan, mereka juga berhak untuk memilih gerai yang bersih semasa membeli makanan. Ini adalah penting untuk menjamin kesejahteraan masyarakat sejagat.