Melancong ke negara Turki pasti menjadi pilihan ramai. Sebuah negara empat musim yang kaya dengan sejarah dan keindahan alam semulaja. Namun, tidak ramai yang mengetahui sebuah tempat di Turki iaitu Reyhanli. Reyhanli hanya terkenal dalam kalangan aktivis kemanusiaan yang bergiat aktif membantu pelarian Syria yang berada di Turki kerana di Reyhanli terdapat salah sebuah dari tiga pintu sempadan yang menghubungkan antara Turki dan Syria.
Di Reyhanli, terdapat ramai pelarian-pelarian dari Syria. Mereka menetap di khemah-khemah atau menyewa rumah murah untuk meneruskan kehidupan. Di sini juga terdapat gudang penyimpanan barang, kilang roti dan Pusat Asuhan Anak Yatim milik Badan Bukan Kerajaan (NGO) terbesar di Turki iaitu IHH. Setiap hari, kilang roti IHH menghasilkan lebih 100,00 keping roti untuk diagihkan kepada rakyat Syria di dalam Syria yang terjejas akibat konflik yang melanda negara mereka.
Reyhanli berdekatan dengan Bandar Antakya. Perjalanan ke Bandar Antakya mengambil masa selama 15 minit daripada Lapangan Terbang Hatay. Antara tarikan yang ada di bandar ini ialah Muzium Arkeologi Hatay, Masjib Habib Enajjar dan Gereja purba St Peter. Antakya juga sebuah bandar yang amat istimewa kerana menyimpan jasad seorang pendakwah yang Allah ceritakan dalam Surah Yaasin iaitu Habib An Najjar.
Insan istimewa ini telah disebut oleh Allah SWT dan Surah Yasin dalam ayat ke 20. Beliau bukanlah seorang nabi, bukan juga seorang ulama tetapi hanyalah seorang tukang kayu di Bandar Atakya. Tetapi, dengan keimanan yang teguh, beliau mengajak kaumnya untuk turut beriman dengan rasul yang telah diutuskan Allah SWT kepada mereka. Kesudahannya, ajakan Habib An Najjar bukan sahaja ditolak malah ia dibelasah hingga membawa kepada kematiannya. Kisah insan mulia ini dirakamkan oleh Allah SWT untuk menunjukkan kepada kita betapa cabaran sebagai seorang pendakwah yang menyeru kepada kebaikan akan menghadapi pelbagai rintangan.
Di dalam buku Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan Pendakwah karya Fathi Yakan, seorang tokoh pendakwah ada menyebutkan bahawa para pendakwah akan sentiasa menghadapi cabaran. Lima jenis dugaan yang kerap dihadapi oleh seorang pendakwah ialah orang mukmin yang dengki kepadanya, orang munafik yang membencinya, orang kafir yang mahu memeranginya, syaitan yang hendak menyesatkannya dan nafsu yang sentiasa bertarung dengannya.
Seterusnya, Fathi Yakan telah menggariskan beberapa panduan untuk memperkuatkan jatidiri sebagai seorang Da’ie. Antara amalan yang mesti dilakukan ialah berpuasa di hari yang panas terik demi menghadapi hari akhirat, menunaikan sembahyang dua rakaat di waktu malam untuk menghadapi kesunyian kubur, menghulurkan sedekah sambil merahsiakannya dan menuturkan perkara-perkara yang baik atau berdian diri daripada mengungkapkan kebatilan.
Islam amat menggalakkan umatnya untuk bermusafir mencari ibrah daripada kisah-kisah yang berlaku terhadap umat dahulu. Sungguh, beruntunglah orang yang mahu berfikir dan mengambil pengajaran di atas setiap kejadian yang berlaku. George Santaya juga telah berkata, ‘mereka yang tidak belajar dari sejarah, akan didera dengan mengulangi kesalahan-kesalahan mereka berkali-kali’.
Artikel ini telah diterbitkan di Harian Metro pada 24 Mei 2019.