Dr. Nurkhamimi Zainuddin
Dr. Nurkhamimi ZainuddinDekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama

Masa berlalu begitu pantas. Rasanya baru sahaja kita bertarawih pada malam pertama Ramadan. Hari ini Ramadan sudah memasuki fasa akhir dan semakin hampir melabuhkan tirainya. Bagi golongan lalai dan leka dengan permainan duniawi, mereka tidak merasai apa-apa ketika Ramadan meninggalkan mereka.

Malah, mereka bergembira kerana tidak perlu lagi menahan lapar dan dahaga. Kita memanjatkan rasa kesyukuran kerana dikurniakan bulan Ramadan yang hebat ini.

Ramadan sangat istimewa berbanding bulan Islam lain kerana kelebihan dan keunikannya. Pada bulan ini, di dalamnya terdapat satu malam yang sangat ditunggu-tunggu orang beriman iaitu lailatulqadar. Keistimewaan lailatulqadar adalah ia dinamakan sendiri oleh Allah SWT di dalam al-Quran dengan mengkhususkan satu surah dinamakan surah Al-Qadr. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kami menurunkannya di malam Al-Qadr. Apakah kamu tahu apa itu malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu bulan. (Pada malam itu) para malaikat dan Al-Ruh (Malaikat Jibrail) turun padanya dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam tersebut sehingga terbit fajar.”

Lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana al-Quran diturunkan pada malam berkenaan. Pada malam itu juga, Allah SWT menurunkan pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan penuh khusyuk serta berdoa penuh keikhlasan. Malaikat turut turun bersama membawa berkat dan rahmat Allah SWT yang dikhaskan untuk malam itu.

Selain itu, Al-Qadr juga membawa maksud ‘penetapan’. Pada malam itu, berlaku penetapan segala urusan hamba-Nya yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Ingatlah, Allah SWT menjanjikan sesiapa yang beribadat bertepatan dengan malam Al-Qadr, maka dia akan diberi ganjaran pahala melebihi ibadat yang dilakukan selama 1,000 bulan. Begitulah sifat Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah. Al-Qadr adalah anugerah tidak ternilai yang dikurniakan Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Beberapa hari berbaki ini perlu digunakan untuk mengejar gandaan pahala yang dijanjikan Allah SWT dengan melaksanakan ibadat dengan penuh ikhlas.

Belum tentu lagi kita dapat menemui Ramadan yang seterusnya. Sehubungan itu, gunakanlah peluang yang ada ini dengan melaksanakan ibadat bersungguh-sungguh untuk mengejar malam impian itu. Meskipun terdapat banyak pandangan ulama dalam menentukan bila malam yang tepat berlakunya Al-Qadr seperti malam ke-27 dan malam ganjil pada 10 malam terakhir.

Usah kita berkira-kira dan hanya bersungguh-sungguh beribadat pada malam tertentu sahaja. Rasulullah SAW sendiri beriltizam dan bersungguh-sungguh mengejar malam Al-Qadar. Sebagaimana hadis daripada Saidatina Aisyah RA melalui riwayat Imam Al-Bukhari Rahimahullah yang bermaksud: “Nabi SAW apabila masuk 10 akhir bulan Ramadan Baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadat dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadat.”

Kesungguhan Baginda SAW digambarkan lagi dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim Rahimahullah. Daripada Aisyah RA: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain.”

Mudah-mudahan kita berpeluang menemui malam lailatulqadar pada Ramadan ini.