Istilah poliglot mungkin sesuatu istilah yang agak asing bagi sesetengah orang namun menjadi kebiasaan kepada pemain dalam bidang industri pekerjaan terutama dalam bidang terjemahan, bahasa, penulisan, suntingan dan pembacaan pruf.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mentakrifkan poliglot sebagai seseorang yang mengetahui, menguasai atau mengandungi banyak bahasa. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil sebelum seseorang itu boleh diiktiraf sebagai poliglot?
Jika diimbas sejarah tokoh-tokoh terdahulu, seorang ahli falsafah Islam terkenal iaitu Al-Farabi (872-950) merupakan seorang polymath yang menguasai banyak bahasa. Ratu England Elizabeth I (1533-1603) pula dilaporkan mampu bertutur dalam 10 bahasa termasuklah Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol, Itali, Belanda, Latin, Welsh, Cornish, Scot dan Irish.
Tokoh lain seperti Dato Mahamud bin Abdul yang berjaya mengangkat martabat Bahasa Arab ke tahap yang tinggi dalam penyebaran ilmu dan pemerkasaan bahasa Arab di Malaysia dan nusantara. Selain itu, kita mengambil contoh figura terkenal dalam bidang seni iaitu Dato’ Mahadzir Lokman yang mahir bertutur bahasa Perancis, Sepanyol, Itali, Portugis dan Jepun.
Usaha tingkat penguasaan bahasa
Berdasarkan kajian English Proficiency Index, Malaysia memperolehi skor sebanyak 58.55 peratus dan menduduki tempat ketiga di Asia. Ini menunjukkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia adalah tinggi. Namun, bagaimana pula dengan penguasaan bahasa asing yang lain? Penulis berpandangan bahawa usaha meningkatkan penguasaan bahasa asing yang baik secara profesional pesat dilakukan di Malaysia, termasuklah inisiatif penawaran program akademik di peringkat pengajian tinggi.
Tambahan pula, kesemua 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia menawarkan peluang kepada bakal pelajar untuk menguasai bidang bahasa, lingusitik dan sastera. Sungguhpun persaingan untuk mendapat tempat di universiti agak sengit. Namun, pihak universiti terus menambahkan usaha menyediakan tempat dan peluang kepada mereka yang ingin menyebar luas serta menguasai bidang-bidang ini.
Di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM bergerak pantas dalam menawarkan program-program akademik berkaitan bahasa, sastera, terjemahan dan pendidikan sama ada di peringkat prasiswazah mahupun pascasiswazah yang berfokus kepada penguasaan Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Mandarin, Jepun dan Perancis.
Bercakap mengenai keunikan program ini, para pelajar akan dilatih untuk menjadi ilmuwan, pemimpin dan professional yang kompeten bukan sahaja dari aspek bahasa, malah mereka akan dibentuk supaya tampil lebih berkeyakinan, berani dan berdaya saing. Inilah keunikan yang ada di USIM. Dalam usaha untuk mempelajari bahasa asing ini, USIM tidak hanya menumpukan kepada pembelajaran melalui kaedah teradun, malah para pelajar turut didedahkan dengan pengayaan dan pemantapan bahasa melalui integrasi ilmu dalam penyelidikan, seminar dan penerbitan.
Kaedah ini diteroka adalah untuk memberi kelainan dalam kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan memberi ruang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan orang luar, meningkatkan kemahiran mendengar dan menulis karya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ini kerana kita bukan hanya mahu melahirkan pelajar yang ‘tahu’ sahaja tetapi mereka yang faham serta boleh berbicara, menulis dan memahami bahasa asing dengan cemerlang. Tambahan pula, strategi ini sebenarnya membantu dan menyokong proses dalam aktiviti pembelajaran sesuatu bahasa sasaran dengan lebih efektif.
Kerjaya sebagai poliglot
Hakikatnya, ramai pelajar tertanya-tanya apakah prospek pekerjaan yang menanti pelajar yang berkelulusan dalam bidang bahasa. Dengan ledakan revolusi industri 4.0, kini lebih banyak peluang pekerjaan boleh ditawarkan serta menjanjikan pendapatan yang lumayan.
Selain itu, mereka yang mahir dalam bidang bahasa ini memang menjadi rebutan dan diperlukan terutama dalam bidang media dan komunikasi, pelancongan dan perniagaan. Melalui pengalaman peribadi penulis, sekurang-kurangnya pendapatan sampingan sekitar RM1,500 sehingga RM2,000 mampu diperolehi setiap bulan hasil daripada perkhidmatan menjadi pemandu pelancong kepada pelancong negara Arab, selain dari menjadi pengacara majlis dan kerja terjemahan teks dan dokumen di dalam Bahasa Arab. Apa yang penting, graduan perlu berusaha untuk mencari peluang pekerjaan yang berkaitan dengan bidang yang diambil. Jangan pula menunggu ”Bulan jatuh ke riba”.
Hakikatnya peluang pekerjaan sentiasa menanti untuk diisi oleh para graduan. Namun penulis ingin mengajukan persoalan, adakah pelajar mempunyai kemampuan dan kecekapan untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut? Di USIM, tenaga pengajar yang dilantik sentiasa menggembeling tenaga memastikan supaya tahap kebolehpasaran graduan sentiasa berada di tahap yang ideal.
Masyarakat harus sedar bahawa peluang pembelajaran kepada pelajar yang mempunyai latar belakang Pendidikan Islam tidak harus dipandang enteng. Pihak USIM akan terus memberikan komitmen dan berperanan sebagai gedung ilmu untuk mereka meggilap pelbagai bakat pelajar yang boleh digelar sebagai poliglot melalui penguasaan bahasa asing supaya mampu mengisi permintaan dari pasaran kerja global. USIM komited dalam usaha untuk mengangkat bidang bahasa, pendidikan dan pengajian Islam supaya tetap utuh dan terus memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat.