Pada era globalisasi ini, tidak asing lagi bagi kita tentang teknologi media yang memainkan peranan yang sangat penting pada dasawarsa ini. Media menjadi pengantara antara perhubungan seseorang dengan orang lain seperti menggunakan teks, imej, dan grafik untuk menyampaikan maklumat, pesanan, atau idea.
Baru-baru ini, persidangan International Conference On Communication Studies, New Media, and Social (ICCSNS) 2024 dijalankan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) secara hibrid. Program ini adalah program libat sama komuniti antarabangsa yang dianjurkan oleh Universitas Islam Bandung (UNISBA) dengan kerjasama Academic International Dialogue (AID Academy).
Persidangan ini menampilkan dua orang penceramah iaitu Prof. Dr. Atie Rachmiatie, M.SI. (Dekan Fakultas Sains Komunikasi, UNISBA), dan Dr Suria Hani A. Rahman (Timbalan Dekan Akademik dan Anatarabangsa, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM). Dalam persidangan tersebut, mereka membicarakan tentang perkembangan media pada masa kini terutamanya di Indonesia dan Malaysia.
Prof. Dr. Atie membentangkan wujudnya 47,000 organisasi media yang wujud di Indonesia, yang mana 2,000 adalah organisasi akhbar, 43,000 media siber, 674 radio, dan 523 organisasi televisyen. Media siber yang dimaksudkan termasuklah media sosial, dan blog yang memainkan peraaan yang penting dalam eko-media di negara itu. Dalam pada itu, ini menunjukkan rakyat Indonesia banyak meluangkan masa di media siber berbanding dengan media yang lain.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek pernah berkata bahawa di Malaysia, 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus adalah rakyat Malaysia. Ini menunjukkan rakyat Malaysia juga antara yang aktif menggunakan media sosial, dan bilangan ini meningkat sebanyak dua juta dalam tempoh setahun dari tahun 2020. Beliau juga menyebut bahawa “penggunaan internet sekarang ini juga semakin meningkat semenjak Malaysia berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).”
Selain itu, dalam persidangan tersebut, Dr Suria Hani A. Rahman juga menyentuh tentang ‘infodemik’ iaitu terlalu banyak maklumat dalam persekitaran digital dan fizikal termasuklah maklumat palsu atau yang mengelirukan. Lebih-lebih lagi maklumat yang disebarkan tanpa sempadan ini sangat cepat dan pantas tanpa meneliti kesahihan berita tersebut. Sekaligus, mengisi kekosongan maklumat yang ada tetapi juga boleh meningkatkan mesej-mesej yang berbahaya seperti palsu atau penipuan. Namun begitu, infodemik ini perlulah ditangani untuk melindungi kesihatan mental dan fizikal, menjamin keselamatan dan kesejahteraan sosial, meningkatkan kepercayaan kepada institusi sama ada institusi kerajaan, kesihatan, dan media.
Dalam masa yang sama, peranan media Islam juga perlu dititikberatkan kerana ini adalah rujukan terpenting dalam hidup seorang Muslim. Dr. Suria Hani juga menyatakan, falsafah penyiaran diaplikasikan daripada kaedah dakwah Rasulullah SAW iaitu “ammar ma’ruf nahi mungkar”yang maksudnya mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sejak zaman Rasulullah SAW lagi sebenarnya media telah digunakan dalam Islam. Al-Quran misalnya menceritakan bagaimana Nabi menyuruh Hassan bin Tsabit berpuisi untuk menyebarkan dakwah dan menyangkal dakwaan musyrikin ketika itu. Jelas, media telah lama wujud sejak zaman Rasulullah lagi, dan puisi adalah antara medium terawal yang digunakan oleh masyarakat Arab untuk tujuan dakwah.
Hari ini, telah muncul banyak media baharu yang digunakan oleh masyarakat mengikut peredaran zaman terutamanya media sosial yang menjadi rutin harian masyarakat di seluruh pelusuk dunia. Dengan peluang ini, ahli masyarakat perlulah menteliti, meneliti dan memilih maklumat yang diterima agar mendapat manfaat dan bukan kebobrokan teknologi. Selain itu, kerjasama yang lebih kukuh di peringkat antarabangsa untuk menangani infodemik adalah penting bagi memastikan maklumat yang disebarkan betul dan boleh dipercayai sampai ke semua orang. Dalam pada itu, penggunaan teknologi yang canggih (AI) juga boleh dipertimbangkan untuk mengesan dan hapuskan maklumat yang tidak sahih.